PELBAGAI reaksi timbul dalam kalangan masyarakat mengenai vape atau rokok elektronik, ada yang menyokong ia diharamkan dan ada juga yang menentang.
Pelbagai jenis mode atau alat rokok elektronik dikeluarkan dan terbaru adalah Jupiter, sejenis alat rokok elektronik yang mempunyai fungsi menjadi telefon pintar.
Jupiter adalah sejenis alat dua dalam satu yang membolehkan pengguna untuk menggunakan telefon pintar sambil menghisap rokok elektronik.
Jupiter boleh disifatkan sebagai satu ciptaan yang hebat. Bagaimana rokok elektronik boleh disatukan sekali dengan telefon pintar.
Jika ia berjaya tidak mustahil satu masa nanti terdapat lebih banyak ciptaan yang hebat.
Telefon pintar Android ini mempunyai sistem vape yang terbina pada bahagian atas peranti.
Jupiter mempunyai skrin sebesar 5.3 inci dan menggunakan Android 4.4 selain mempunyai aplikasi khas yang membolehkan pengguna mengawal bagaimana vape beroperasi dengan hanya menekan skrin sesentuh.
Aplikasi ini bukan saja dapat mengawal voltan vape malah mengenal pasti perisa vape apakah yang sedang digunakan.
Terdapat juga aksesori tambahan berbentuk paip shisha panjang yang boleh dipasang sekiranya diperlukan.
Nampak menarik tetapi produk ciptaan Amerika Syarikat ini belum dibuka untuk jualan kerana masih menunggu kelulusan pihak berkuasa di sana.
Sumber: Berita Harian