Kabinet Arah Kajian Secara Holistik Tentang Penjualan VAPE

Gambar Hiasan
KUCHING – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin berkata Kabinet telah membuat keputusan supaya kajian mendalam dan holistik dibuat terhadap penjualan perisa cecair untuk rokok elektronik atau vape di pasaran.

Menurut beliau, kerajaan mahu supaya ada prosedur dan kriteria ditetapkan jika mahu membenarkan vape dijual di pasaran.

Katanya, peranti rokok elektronik itu mesti menepati standard yang boleh diguna pakai di peringkat antarabangsa.

“Cecair vape mesti menepati kandungan paras nikotin yang diluluskan oleh Kementeran Kesihatan sepertimana paras kandungan nikotik yang dibenarkan dalam rokok biasa,” jelas beliau.

Selain itu, kata Hamzah peraturan juga perlu diwujudkan bagi menentukan pihak yang boleh mengeluarkan bahan berkenaan dan peniaga yang boleh menjual dan menggunakannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) SSM Sarawak, di sini semalam.

“Kita tidak mahu sewenang-wenangnya ada bahan nikotin yang boleh disalahgunakan dan undang-undang yang hendak dilaksanakan berkaitan pengeluaran dan penjualan bahan itu demi untuk kesihatan rakyat,” katanya.

Menurut beliau sebelum ini terdapat pihak yang mengatakan vape boleh menyebabkan penyakit serius sementara pihak lain mengatakan ia boleh mengurang tabiat menghisap rokok.

Oleh sebab itu, katanya maka kajian yang mendalam harus dilakukan dan selepas kajian berkenaan dibuat barulah kerajaan akan menentukan sama ada pengeluaran dan penjualannya akan dibenarkan.

“Jika pengeluaran dan penjualannya dibenarkan maka pihak yang mengeluar dan menjualkannya perlu mendaftarkan perniagaan mereka dan membayar cukai yang ditetapkan,” tambah Hamzah. – BERNAMA