Kalau Anak Dapat No.7, Janganlah Sampai Luah Kecewa Di Facebook...


Kami yakin bahawa setiap ibu bapa sememangnya mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka.

Namun, dalam sedar atau tidak sedar sikap itu adakalanya memberi kesan negatif khususnya dalam emosi anak-anak.

Walau bagaimana pun, mungkin ada ibu bapa yang tidak sependapat.

Gara-gara kedudukan anaknya mendapat nombor 7 dalam kelasnya, wanita itu sanggup meluahkan rasa kecewanya terhadap anaknya kerana merasakan pelajaran si anak yang semakin merosot di khalayak umum menerusi laman Facebook.

Padahal, anaknya yang masih bersekolah rendah itu boleh dikatakan mendapat keputusan yang agak memberansangkan iaitu ‘4A’ dalam beberapa subjek.

Selain itu, wanita itu turut mengungkit penat lelahnya dalam menjaga dan mendidik anaknya sehinggakan sanggup berhenti kerja.


Tambah wanita itu, dia juga berasa sedih kerana tidak dapat melihat anaknya naik ke pentas untuk menerima anugerah pelajar cemerlang pada tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pada pandangan kami, mungkin ramai yang faham tentang rasa kecewanya tentang tahap kecemerlangan anaknya setelah wanita itu berhempas pulas memberikan fokus terhadap pelajaran dan pembelajaran anaknya itu.

Namun begitu, janganlah sampai meletakkan tahap yang terlalu menggunung kerana ia bukan saja memberi tekanan pada si anak, malah turut akan memberikan tekanan melampau pada kita sekiranya tahap pencapaian anak tersebut memuaskan.

Tips dari kami, mungkin para ibu boleh mencuba kaedah lain seperti kerap membaca beberapa surah Al-Quran seperti surah Al-Luqman dan sebagainya, serta sering berdoa kepada Allah SWT membuka minat dan menerangkan hati anak-anak.

Selain itu, lipat gandakan usaha memberi tumpuan kepada anak-anak yang dikenalpasti agak lemah daya pemikirannya kerana kadang-kadang mereka tidak mempunyai daya pemikiran yang 'genius' dan agak lemah berbanding yang lain.

Paling utama, tidak perlulah luahkan rasa kecewa di laman Facebook sehingga mampu dibaca oleh pengguna lain seantero dunia. Ia bukan saja memalukan diri sendiri, malah anak-anak dan suami juga akan terpalit sama.

Kami harap, ibu berkenaan bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan padanya dan bersabar. Sesungguhnya sikap syukur dan bersabar itu ada ganjaran pahalanya serta akan ditambah nikmat kepada mereka yang menerima takdir itu dengan hikmah yang positif.

Semoga ibu-ibu di Malaysia sihat belaka, inshaAllah! -Kedahnews.com