Kambing Berani Jadi Sahabat Harimau Di Zoo Rusia


Moscow – Seekor kambing sepatutnya menjadi hidangan tengah hari seekor harimau apabila dimasukkan ke dalam tempat kurungan haiwan buas berkenaan di Taman Safari Far Eastern di Shkotovsky, baru-baru ini.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila harimau itu tidak membaham kambing berkenaan malah kedua-dua haiwan itu menjadi kawan baik.

Pekerja di safari berkenaan berkata, harimau Siberia yang diberi nama Amur diberikan kambing hidup sebagai makanan, sekali setiap dua minggu.

Amur biasanya tidak menunggu lama apabila terus membaham kambing yang dimasukkan ke dalam tempat kurungannya namun kali ini keadaan berbeza.

“Kambing ini dimasukkan ke tempat kurungan Amur sejak beberapa hari lalu untuk dijadikan makanan. Namun kambing itu tidak menunjukkan rasa takut ketika berada dalam kandang harimau malah mula berkawan dengan haiwan berkenaan,” katanya.

Keberanian kambing itu membuatkan petugas menamakannya Timur.

Persahabatan kambing dengan harimau itu semakin erat apabila kedua-dua haiwan itu sering dilihat bersama-sama.

“Lebih mengejutkan, kambing itu berani tidur di tempat tidur Amur menyebabkan harimau berkenaan terpaksa tidur di luar.

“Mungkin Timur terlalu berani sehingga Amur menganggapnya bukan sebagai mangsa atau mungkin juga Amur kesunyian kerana tinggal seorang diri sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya. – Agensi