Iswari kanak-kanak istimewa yang mahu ke sekolah seperti rakan lain. |
KULIM - Keinginan kanak-kanak istimewa (OKU) berusia 11 tahun bersekolah, masih belum terhenti biarpun menyedari diri tidak mampu bergerak akibat lumpuh.
Ibu saudara, R Thiresa, 31, berkata, anak saudaranya, K Iswari sering meminta dihantarkan ke sekolah seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, sebelum ini Iswari pernah didaftarkan ke sekolah rendah biasa dan sempat menghadiri beberapa kali kelas namun kesukarannya untuk bergerak sendiri menyebabkan dia terpaksa berhenti.
“Dekat sekolah siapa mahu jaga dia, macam mana dia nak uruskan diri sendiri, jadi dia tak dapat pergi lagi ke sekolah,” katanya.
Thiresa berkata, Iswari juga pernah dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dekat sini, namun disebabkan tiada kenderaan dia terpaksa berhenti.
“PDK itu agak jauh, mula-mula ada orang ambil dan hantar, tapi lama-lama mereka juga perlu meneruskan kehidupan untuk pergi bekerja dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, Iswari adalah kanak-kanak periang dan tidak banyak kerenah serta mampu berdikari sendiri.
Dalam pada itu, Thiresa menjelaskan, Iswari memerlukan alat bantuan berjalan atau kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya.
"Ibunya hanya bekerja sebagai tukang cuci, memang tak mampu untuk menyediakan kemudahan kepada Iswari. Iswari kadangkala cuba bergerak dan berdiri sehingga menyebabkan kakinya luka,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua PKR Cabang Padang Serai, M Karupaiya berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membina sekolah khas di kawasan ini bagi kemudahan kanak-kanak senasib Iswari mendapatkan pelajaran seperti kanak-kanak normal yang lain.
Sumber: Sinar Harian