Xu Suobao telah mencipta dan mengubahsuai sebuah kerusi roda agar dia dapat bersama-sama isterinya Zhoushu Di ke mana sahaja mereka pergi. |
KISAH cinta sepasang suami isteri warga emas yang tinggal di Luoyang, China mendapat perhatian netizen.
Ini kerana si suami, Xu Suobao, 79, telah mencipta dan mengubahsuai sebuah kerusi roda agar dia dapat bersama-sama isterinya ke mana sahaja mereka pergi.
Kisah pasangan ini mula viral di laman sosial selepas mereka hadir di Festival Chongyang iaitu sebuah festival yang meraikan warga emas di China.
Isteri Suobao, Zhoushu Di menghidap penyakit berkaitan sendi sejak 40 tahun lalu, menyebabkan wanita itu sukar untuk berjalan dan bergerak.
Walau bagaimanapun Suobao memberitahu isterinya itu gemar bersiar-siar di taman namun pada usianya, dia hanya mampu berjalan dalam jarak yang dekat sahaja.
Oleh yang demikian, dia telah melakukan sedikit pembaharuan pada kerusi roda isterinya bagi memudahkan pergerakan mereka berdua ke mana sahaja.
“Dia gemar bersiar-siar di taman dan selalu ke hospital untuk rawatan. Dia akan memandu kerusi rodanya dan saya berjalan di belakang.
“Namun jika jarak perjalanan terlalu jauh, saya tidak mampu untuk menemaninya jadi saya buat pembaharuan pada kerusi roda itu,” katanya.
Kerusi roda itu menggunakan tenaga bateri untuk berjalan dan ia boleh dikawal oleh isterinya. Ia juga dilengkapi dengan tempat membuang air jika berlaku kecemasan.
Rata-rata netizen menggelarkannya ‘Kerusi Roda Cinta’ dan memberi gelaran ‘Pasangan Paling Romantik’ kepada pasangan warga emas tersebut. – Kedahnews.com