Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN – Penerimaan orang ramai terhadap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kini bertambah baik berikutan tidak ada banyak aduan berhubung pelaksanaan cukai baharu itu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman & Cukai Barangan dan Perkhidmatan) Datuk Subromaniam Tholasy berkata rakyat kini semakin faham dan sudah mula menerima cukai baharu yang mula diperkenalkan pada 1 April lalu itu.
“Sekarang kalau kita lihat dah lebih tujuh bulan pelaksanaannya, penerimaan rakyat semakin baik. Rakyat sebenarnya dah faham dan kalau kita lihat tidak ada banyak aduan lagi mengenai GST ini.
“Malah saya masih ingat pada hari pertama pelaksanaannya dulu tak silap saya ada lebih 800 aduan tapi sekarang hampir tiada…rakyat dah mula faham,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar GST (Hartanah dan Pembinaan) anjuran Pegawai-pegawai Kanan Kastam Pulau Pinang, di sini Rabu.
Beliau berkata rakyat seharusnya memahami bahawa GST telah menyelamatkan ekonomi negara kerana model yang diperkenalkan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
“Model kita lain sikit berbanding negara lain yang melaksanakan GST. Bayar cukai paling banyak adalah orang yang mampu berbelanja lebih, dengan perkataan lain orang kaya.
“Jadi bila orang yang mampu berbelanja mereka yang menyumbang lebih banyak GST berbanding orang berpendapatan rendah tetapi hasil daripada kutipan itu boleh dibelanjakan balik untuk rakyat yang kurang mampu. Sebab itu model kita antara model terbaik kerana mengikut acuan sendiri,” katanya.
Subromaniam berkata pada masa sama pihaknya turut memantau dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap peniaga-peniaga yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang berhubung pelaksanaan GST.
Mengulas mengenai kutipan GST, beliau berkata untuk sembilan bulan pertama tahun ini pihaknya menjangkakan kutipan GST sebanyak RM27 bilion dan menyasarkan kutipan sebanyak RM39 bilion pada tahun depan.
“Bayangkan kalau tiada GST kita tidak mampu mencapai kutipan sebanyak ini. SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) kita hanya dapat kutip antara RM16 bilion dan RM17 bilion sahaja. Ini membantu ekonomi di samping menjadikan eksport kita lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan meneruskan siri seminar kepada syarikat dan agensi yang telah mendaftar bagi memberi kefahaman yang menyeluruh berhubung pelaksanaan GST. – BERNAMA