DATUK Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad (tiga dari kanan) ketika melawat kaunter pandu bayar di Ibu Pejabat MBAS. - Foto Danial Noordin |
ALOR SETAR - Orang awam dipelawa menggunakan perkhidmatan kaunter pandu bayar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang terletak di pintu keluar pejabatnya untuk menjelaskan bayaran cukai pintu dan saman.
Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, kaunter itu mula beroperasi pada 11 November lalu dan orang ramai boleh membuat pembayaran secara tunai, kad kredit dan cek tanpa perlu keluar beratur atau masuk ke dalam pejabat MBAS.
Menurutnya, selepas ini tidak ada lagi alasan susah untuk membuat pembayaran berkaitan.
“Kaunter dibuka pada Ahad hingga Khamis bermula jam 9 pagi hingga 3 petang termasuk waktu rehat. Sementara itu pada Jumaat dan Sabtu, bayaran boleh dibuat di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah.
“Perkhidmatan ini adalah satu lagi medium tambahan bagi memudahkan orang awam berurusan dengan kami. Medium lain seperti pembayaran di kaunter pejabat, kaunter UTC serta pembayaran melalui dalam talian tetap diteruskan seperti biasa,” katanya kepada media di pejabat MBAS, di sini, kelmarin.
Mat Noh berkata, penggunaan perkhidmatan kaunter pandu bayar dijangka lebih sibuk pada Januari atau Februari depan kerana kebanyakan orang awam akan membuat bayaran cukai pintu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, masyarakat boleh mengemukakan sebarang aduan kepada MBAS melalui aplikasi interaksi sosial seperti WhatsApp, Telegram, Line menggunakan talian 019-5211123 yang akan bermula pada awal bulan depan.
“Aduan melalui emel dan laman Facebook yang diperkenalkan pada Jun tetap beroperasi seperti biasa.
“Setakat ini terdapat 15 kes yang diterima seperti masalah longkang, rumput, lampu jalan dan ada antaranya disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.
Sumber: Sinar Harian