Ahmad Hazery yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah dan Aizul Rohan Anuar hadir di Kompleks Mahkamah Alor Setar pada Isnin. |
ALOR SETAR - Kayangan Parking Sdn Bhd (KPSB), pengendali perkhidmatan kutipan caj tempat letak kereta di Bandaraya Alor Setar memfailkan writ saman lebih RM46 juta terhadap Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Hazery Che Din selaku plaintif memfailkan writ saman itu menerusi firma guaman Haniff Khatri pada 29 Okt lalu.
Ahmad Hazery yang diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah dan Aizul Rohan Anuar hadir di mahkamah hari ini untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Setar, Noorhidayah Mohd Saad.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Hazery mendakwa pihaknya mengalami beberapa masalah selepas menandatangani perjanjian untuk menguruskan tempat letak kereta yang berada di bawah bidang kuasa MBAS pada 17 Mac lalu.
Antara lain, beliau mendakwa defendan iaitu MBAS menukar waktu operasi dan tempoh operasi, lewat membuat bayaran perkongsian kutipan kompaun, serta memendekkan masa operasi di bulan Ramadan.
Ahmad Hazery mendakwa MBAS selaku defendan tidak mengeluarkan kompaun terhadap pesalah yang meletak kereta secara salah di luar petak khas, dan kegagalan penguat kuasa MBAS melakukan kerja-kerja pelaksanaan.
Katanya, perkara-perkara tersebut menyebabkan KPSB menghadapi kerugian pendapatan teruk sehingga menjejaskan kemampuan plaintif untuk melaksanakan komitmen terhadap defendan sepertimana terkandung dalam perjanjian.
Satu surat daripada defendan bertarikh 28 Sept 2015 juga diterima pihaknya, menamatkan secara salah perjanjian tersebut dan menghendaki KPSB memberhentikan operasinya bermula 27 Nov 2015.
Oleh itu, plaintif terpaksa memfailkan writ saman bagi menuntut ganti rugi lebih RM46 juta.
Sementara itu, menurut Aizul, mahkamah menetapkan pengurusan kes kedua pada 14 Dis ini dan defendan perlu memfailkan dokumen penyata pembelaan.