KDEB Gagal Bayar Hutang RM424.7 Juta Kepada Selangor - Azmin Ali

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM – Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) masih gagal membayar hutang berjumlah RM424.7 juta kepada kerajaan negeri Selangor untuk membeli pegangan saham Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri diberitahu hari ini.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata pinjaman itu diberikan kepada KDEB yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri bermula Jun 2013, dengan caj pembiayaan empat peratus setahun, menjadikan jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM429.7 juta.

“Tarikh anuiti bayaran balik ialah pada 28 Nov 2015 tetapi sehingga kini KDEB hanya membayar balik sebanyak RM5 juta kepada kerajaan negeri.

“KDEB juga gagal memiliki 100 peratus pegangan saham dalam KHSB berikutan keengganan pemegang saham minoriti menjual saham mereka kepada KDEB,” katanya di sini, hari ini.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata demikian ketika menjawab soalan Gan Pei Nei (DAP-Rawang) yang ingin tahu jumlah pinjaman yang dibayar balik KDEB kepada kerajaan negeri untuk membeli KHSB.

Bagaimanapun, menteri besar berkata rundingan masih berjalan termasuk KHSB melaksanakan dasar pengurangan modal terpilih bagi memastikan proses pengambilalihan itu dapat dilaksanakan.

“Namun kelulusan mahkamah diperlukan dan beberapa hari lepas saya telah dimaklumkan pendengaran di mahkamah telah ditetap pada 6 Nov ini. Oleh itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Okt lalu bersetuju untuk melanjutkan tempoh bayaran balik pinjaman KDEB sehingga 28 Okt 2016,” katanya. – BERNAMA