Kedah Berhak Kutip Caj Air Mentah Dari Negeri Jiran

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Kedah berhak mengutip caj air mentah dari negeri jiran yang menyedut  air dari sungai yang mengalir dari negeri ini.

Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) berkata, Perlis pernah membayar caj itu kepada Kedah beberapa tahun sebelum dihentikan ketika pentadbiran bekas menteri besar, Datuk Seri Shahidan Kassim melalui rundingan.

Beliau berkata, Kedah juga mendapat bayaran dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) sebelum ini apabila Pulau Pinang menyedut air dari Sungai Muda untuk meningkatkan kapasaiti air dalam Empangan Mengkuang sebelum proses pembesarannya.

"Air dalam Empangan Mengkuang tidak cukup selepas projek pembesaran. kementerian itu meminta bantuan Kerajaan Kedah melepaskan air bagi membolehkan kapasiti air ditambah.

"Kerajaan Kedah ketika itu melepaskan air dari Empangan Beris di Sik untuk memenuhi permintaan kerajaan pusat," katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2016 di Dun Kedah semalam.

Sehubuingan itu, Kerajaan Kedah dminta mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk mendapat bayaran atau caj menyedut air mentah dari sungai di Kedah yang mengambilnya secara percuma selama ini.

"Apa pun alasan yang diberi, kita berhak menuntut bayaran itu dari Pulau Pinang.

"Jika mereka enggan, perkara itu boleh dipanjangkan kepada Kettha untuk pertimbangan dan tindakan kerana ia pernah membuat bayaran kepada Kedah sebelum ini iaitu dalam kes Empangan Mengkuang. Ini adalah bukti bahawa Kedah berhak menuntut caj air mentah," katanya.

Amiruddin berkata, Kerajaan Kedah perlu bertegas dan meminta peruntukan dari pusat kerana ia sudah berkorban selama ini dengan mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air untuk menjamin bekalan air yang mencukupi untuk kegunan domestik dan pertanian.

"Kedah membekalkan air kepada kawasan jelapang padi untuk menjamin bekalan beras yang mencukupi untuk kegunaan rakyat negara ini.

"Jadi apa salahnya Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan khas kepada Kedah atas pengorbanannya itu," katanya.

Sumber: Sinar Harian