Kedah Terpaksa Tunggu "Penyu" Menangis Sebelum Sah Ke Suku Akhir

2 - 4, aksi pertemuan JDT II vs Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam. Foto: BH/Hairul Anuar Abd Rahim
KUALA LUMPUR - Empat lagi pasukan, FELDA United, PKNS FC, Lions XII dan Kedah mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015 berakhir kempen peringkat kumpulan, malam tadi. 

Paling mencuri perhatian adalah FELDA United yang melakukan kebangkitan apabila menewaskan Selangor 3-2 di laman sendiri sekali gus mengiringi juara 32 kali itu ke peringkat seterusnya dalam aksi Kumpulan C itu. 

Kemenangan FELDA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu cukup untuk menafikan hasrat Kelantan yang turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV. 

Kekalahan begitupun tidak merencatkan kedudukan Selangor yang kekal selaku juara kumpulan selepas mengumpul 10 mata diikuti FELDA, sembilan mata dengan Kelantan, lapan mata. 

FELDA harus berterima kasih kepada pemain importnya, Thiago Augusto yang meledak dua jaringan sekalipun terlebih dulu ketinggalan menerusi Mohd Shazlan Alias pada minit ke-32 permainan. 

Ketinggalan 1-0 berakhir babak pertama, FELDA seakan tampil dengan semangat baharu apabila Augusto meledak jaringan penyamaan pada minit ke-48 sebelum menggandakan jaringan dua minit kemudian.

Cubaan pemain Selangor, Guilherme De Paula pada minit ke-57 mencemaskan FELDA namun ia sekadar menggegar tiang gol sebelum kesilapan pertahanan melebarkan kelebihan tuan rumah menerusi gol sendiri Robert Cornthwaite pada minit ke-65. 

Selangor memperoleh gol kedua menerusi De Paula menerusi sepakan penalti pada minit ke-88.

Dalam aksi tunggal Kumpulan B, Sarawak mensia-siakan peluang untuk mengumpul tiga mata penuh apabila diikat ATM 2-2 di Paroi.

Dalam aksi Kumpulan D, PKNS turut melangkah ke peringkat suku akhir selepas menewaskan PDRM yang terus longlai dengan keputusan 3-0. 

Kemenangan di Stadium Shah Alam itu menyaksikan PKNS muncul juara kumpulan dengan penyandang juara, Pahang terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan bertemu Pulau Pinang. 

Gabriel Miguel membuka jaringan buat PKNS seawal minit kelapan diikuti gol ayam tambatan kelab itu, Patrick Ronaldinho pada minit ke-22. 

PDRM cuba melakukan kebangkitan dengan beberapa serangan berbahaya namun kealpaan benteng pertahanan di penghujung permainan menyaksikan gawang mereka sekali lagi dibolosi pada minit ke-88 menerusi pemain gantian, Mohd Fazli Baharudin. 

Dalam aksi Kumpulan A, drama tercetus apabila pertembungan Terengganu dan Lions XII terpaksa ditangguhkan lebih 15 minit akibat hujan lebat. 

Keadaan itu menyaksikan Kedah yang mencatat kemenangan 4-2 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) terpaksa menunggu sebelum mengetahui sama ada mereka layak ke suku akhir ataupun sebaliknya. 

Berakhir perlawanan di Kuala Terengganu, Lions XII membuktikan membuktikan mereka tidak tunduk pada tekanan untuk mencatat kemenangan 2-1 sekali gus menafikan hasrat tuan rumah ke suku akhir. 

Kedah mengiringi Lions XII selaku naib juara kumpulan.

Sumber: Berita Harian