KIRA-kira 30 hingga 40 penduduk yang tinggal di dalam gua di kawasan berbukit di Granada, Sepanyol ini. |
TERLETAK tinggi di atas kawasan berbukit di bandar Granada, Sepanyol terdapat satu masyarakat gipsi dari yang mengasingkan diri dari dunia luar dan tinggal di dalam gua.
Komuniti ini terdiri daripada kira-kira 30 hingga 40 individu yang digelar gipsi Sacromonte yang menjadikan gua di kawasan itu sebagai kediaman mereka.
Desa ini juga popular di kalangan pelancong dari beberapa negara yang datang semata-mata mahu merasai pengalaman tinggal di dalam gua.
Jurugambar yang juga blogger pelancongan, Matthew Karsten melawat penempatan itu untuk mempelajari cara hidup unik penduduk di sana.
Karsten memberitahu, desa itu kelihatan seperti kediaman di lereng berbukit seperti yang terdapat dalam filem The Lord of The Ring dan The Hobbit.
Perkara pertama yang mengejutkan Karsten ialah kebanyakan gua itu mempunyai kemudahan yang lengkap dan bekalan elektrik dari panel solar dan sambungan wayar dari luar.
Beberapa gua juga lengkap dengan peralatan moden seperti pengisar, cerek, lampu dan televisyen.
SEBUAH gua yang dijadikan rumah oleh masyarakat gipsi Sacromonte. |
Selain itu, penempatan berkenaan turut mempunyai bekalan air dan tandas yang terletak di luar serta dikongsi bersama.
“Suasana di sini seperti satu komuniti, penuh bersemangat kejiranan dan unik.
“Penduduk di sini menolak kebendaan tetapi cintakan muzik, gemar berkongsi bersama jiran dan menjaga persekitaran,” katanya.
Kebanyakan penduduk datang dari pelbagai negara seperti Kepulauan Canary, Jerman dan Senegal.
Mereka mula menanam tanaman dan menghiasi rumah baru mereka.
Walaupun Karsten begitu teruja untuk merakamkan kehidupan komuniti itu tetapi sesetengah penduduk di sana amat berhati-hati dengan kedatangannya.
“Kebanyakan mereka sangat mesra, tetapi ada juga yang tidak,” ujarnya.
Bagi komuniti itu, lebih banyak perhatian dan pendedahan menyebabkan kehidupan mereka lebih terancam, lebih-lebih lagi kerajaan tempatan mahu mereka keluar dari situ.
“Maka tidak hairanlah, ada yang tidak berpuas hati saya berada di sana dengan kamera,” jelasnya.
KEADAAN bahagian depan sebuah gua yang dijadikan rumah. |
Menurutnya, semangat dan kebijaksanaan penduduk di situ sangat memberi inspirasi, malah aspek gaya hidup mereka juga begitu menarik.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti mahu tinggal di sana dalam jangka masa yang panjang melainkan terpaksa,” jelasnya.
Desa ini terletak berhampiran dengan kejiranan Sacromonte, yang diwujudkan selepas kejatuhan empayar Moor pada 1500-an.
Terkenal dengan persembahan tarian Flamenco, Sacromonte menarik kedatangan pelancong yang ingin melihat pesta berwarna-warni dan merasai pengalaman berada di penempatan purba itu.
Sumber: myMetro