Keluarga Ahmed Tuntut RM64 Juta, Permohonan Maaf Datuk Bandar

Ahmed Mohamed
Keluarga Ahmed Mohamed, remaja ditahan gara-gara salah faham jam diciptanya disangka bom, menuntut pampasan AS$15 juta (RM64 juta) selain permohonan maaf daripada datuk bandar Texas dan ketua polisnya.

Peguam kepada keluarga tersebut malah menuntut pihak berkaitan agar melunaskan tuntutan itu dan sekiranya gagal, mereka akan membawa kes berkenaan ke sebuah mahkamah tempatan.

Ahmed mula menjadi tumpuan dunia apabila dia ditahan pihak polis susulan jam yang diciptanya telah disangkakan sebagai bom oleh salah seorang guru di sekolahnya.

Sebaik ditahan, Ahmed mendapat sokongan daripada masyarakat seluruh dunia yang menuntut pembelaan terhadapnya dengan menubuhkan hashtag #IStandWithAhmed yang menjadi trending di Twitter.

Malah, Ahmed turut mendapat jemputan menghadiri sebuah majlis di kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat di White House, Washington DC selain dia ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke Qatar.

Walaupun, Ahmed kini diangkat sebagai ‘hero’, namun menurut peguam yang mewakilinya, Ahmed dilaporkan mengalami trauma berhubung insiden itu selain menjejaskan reputasinya.

Sementara itu, pihak majlis perbandaran Irving, Texas enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan tersebut dan kini sedang meneliti surat yang dihantar peguam Ahmed kepada mereka. –Kedahnews.com