Kemboja, Indonesia Usir Keluar 254 Warga China Penipu Ke Negara Asal

ANTARA 254 suspek dipercayai terbabit dalam penipuan telefon dan Internet tiba di Shanghai.
Beijing - Seramai 254 warga China ditahan di Kemboja dan Indonesia kerana menjalankan kegiatan penipuan melalui telefon serta Internet yang menyasarkan mangsa berbangsa Cina, dihantar pulang semalam untuk menghadapi tuduhan di republik itu, kata Kementerian Keselamatan Awam.

Menurut satu kenyataan di laman sesawang kementerian itu, semua suspek diterbangkan ke Beijing dan tiga bandar lain di China pulang menaiki penerbangan sewa khas.

Mereka disyaki menjalankan lebih 4,000 kes penipuan telefon merentasi sempadan yang menyasarkan mangsa di lebih 20 bandar dan wilayah.

Setakat ini tiada maklumat mengenai ciri-ciri skim penipuan dilakukan, walaupun menurut kementerian berkenaan, kes penipuan seumpama itu antara kategori jenayah yang paling cepat berkembang dan kebanyakannya sukar diselesaikan.

Polis di Kemboja berkata, kumpulan itu menjalankan operasi mereka di rumah sewa di bandar pantai peranginan di Sihanoukville. Sehingga kini, pihak berkuasa masih mencari dalang kegiatan itu.

Mereka berkeupayaan mengeksploitasi pemindahan wang dari jarak selamat, menyembunyikan indentiti dan setiasa mengubah ciri-ciri kegiatan itu untuk terus mengelirukan mangsa serta mengelak dikesan, kata Kementerian Keselamatan Awam China.

Suspek mempunyai pelbagai identiti palsu untuk memudahkan mereka mendapatkan maklumat peribadi atau mendesak mangsa memindahkan wang ke dalam akaun bank di luar negara.

Rangkaian penipuan sebelum ini membabitkan penyamaran sebagai kakitangan bank, syarikat telekomunikasi, keselamatan sosial dan agensi kesihatan awam, menuntut pembayaran yuran dan baki akaun yang tidak wujud.

Selain itu, ada yang menyamar sebagai polis kononnya menyiasat jenayah seperti penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram yang mendesak maklumat peribadi mangsa untuk ‘membersihkan nama mereka.’

Ada juga berpura-pura menawarkan tiket penerbangan dan kereta api dengan kadar murah, pinjaman dengan faedah rendah atau barangan seludup seperti dadah, senjata api dan peralatan pengawasan.

Satu lagi taktik menawarkan kerja palsu, selain mendakwa mangsa menang loteri, kereta, rumah atau kemasukan ke sekolah sebagai umpan.

Suspek yang tiba semalam adalah yang pertama dihantar pulang sejak kempen baru terhadap kegiatan penipuan telefon dilancarkan bulan lalu.

Pasukan polis Kemboja berkata dalam laman sesawang mereka semalam, 168 warga China termasuk 19 wanita dihantar pulang menaiki dua penerbangan sewa khas selepas ditangkap atas tuduhan menggunakan pekhidmatan Internet untuk memeras wang daripada mangsa berbangsa Cina. -AP