Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid |
Kuala Lumpur - Kementerian Pendidikan memantau rapi semua pusat peperiksaan di seluruh negara dan tidak ada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas akibat banjir setakat ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya juga sudah membuat persediaan menghadapi banjir menerusi satu jawatankuasa khas yang dibentuk di peringkat kementerian.
Katanya, guru juga digerakkan di peringkat sekolah bagi membolehkan laporan keadaan semasa berhubung bencana banjir dapat disalurkan segera untuk tindakan susulan.
"Kita di peringkat kementerian mempunyai jawatankuasa untuk pelajar hadapi banjir ketika musim peperiksaan.
"Kita pantau setiap pusat peperiksaan dan setakat ini tidak ada sekolah menengah ditutup akibat banjir," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Buku Malaysia, Persidangan Buku Antarabangsa dan Anugerah Buku Negara 2015, di sini, semalam.
Sumber: myMetro