Kementerian Pendidikan Sokong Rakyat Kuasai Bahasa Inggeris


KUCHING - Kementerian Pendidikan tidak mempunyai masalah dengan pemimpin mana-mana negeri yang menggesa rakyat supaya menguasai bahasa Inggeris.

Malah, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, kementerian berkenaan akan terus menyokong semua usaha dan program ke arah itu.

"Sebenarnya, kami mahu golongan muda kita bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris, tetapi juga bahasa Malaysia dan malah, bahasa Perancis, Sepanyol, Mandarin atau Jepun.

"Dengan menguasai pelbagai bahasa, mereka boleh melangkah ke arena antarabangsa dalam apa jua bidang," katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian bangunan baharu SK Matu Baru di Kampung Bintawa Hilir, dekat sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merasmikan projek berharga RM19.9 juta itu.

"Saya bersetuju dengan keputusan Adenan untuk meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di negeri ini. Apabila anak muda kita sudah begitu fasih berbahasa Inggeris, mereka boleh mencari pekerjaan, pengetahuan atau perniagaan di serata dunia," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, dua inisiatif baharu iaitu Program Dwibahasa dan Program Imersif Tinggi akan dilancarkan di sekolah seluruh negara apabila musim persekolahan tahun depan, bermula.

"Melibatkan kos RM38.5 juta, program perintis itu bertujuan mengukuhkan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris atau mata pelajaran kemahiran. Bagaimanapun, ia akan dilaksanakan secara pilihan.

"Kami akan memulakannya dengan lebih kurang 300 sekolah di negara ini yang bersedia melaksanakannya.

"Para guru perlu bersedia dan begitu juga ibu bapa. Kebanyakan sekolah ini adalah di kawasan bandar dan kami mungkin meluaskannya ke sekolah di luar bandar yang sudah bersedia," kata beliau. - Bernama