Kepala Berjahit 10 Jarum Gara-Gara Lubang Tepi Jalan Langgar

Sabri menunjukkan kepala yang cedera.
ALOR SETAR - Seorang penduduk Kampung Telok Jamat di sini, menerima 10 jahitan di kepala dan luka di bahagian badan serta kaki selepas motosikal yang ditunggangnya termasuk dalam lubang yang dikorek di persimpangan Jalan Pekan Langgar dan Lebuhraya Alor Setar, awal pagi Sabtu lalu.

Mangsa, Sabri Husin, 52, berkata, selain dia, sudah ramai pengguna jalan raya lain yang mengalami nasib sepertinya.

Menurutnya, lubang yang dikorek sejak tiga tahun lalu itu perlu ditutup bagi mengelakkan lebih ramai pengguna jalan raya menjadi mangsa.

"Ketika kejadian, saya lupa bahawa jalan itu ada lubang tambahan pula ketika itu awal pagi dan jalan agak berkabus.

"Saya memang tidak nampak lubang itu. Mujurlah saya hanya cedera ringan sahaja," katanya.

Katanya yang sering menggunakan jalan itu, dia tidak tahu apa fungsi lubang itu dikorek di kawasan jalan berkenaan.

"Di kawasan jalan ini, ada dua lubang yang dikorek. Saya risau jika pihak berkenaan tidak menutupnya makin ramai pengguna akan cedera," katanya.

Sabri berkata, selepas beberapa hari dia kemalangan, ada sebuah kereta turut termasuk dalam lubang itu.


"Sebelum ini, pihak berkenaan ada meletakkan papan tanda di kawasan jalan ini supaya berhati-hati, namun kini papan tanda berkenaan sudah hilang.

"Mungkin pemandu kereta itu juga tidak tahu bahawa ada lubang di kawasan jalan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tanjung Musang/Kotar Setar, Mohd Zaki Mohd Adam ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya sudah dimaklumkan dengan beberapa kes kemalangan yang berlaku di kawasan itu.

“Saya akan berjumpa dengan pihak berkenaan dan meminta mereka menutup lubang terbabit,” katanya.

Sumber: Sinar Harian