Kerajaan Cadang Mansuh Hukuman Mati Mandatori Jenayah Berat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri
KUALA LUMPUR - Pihak Kerajaan Pusat dilaporkan sedang bercadang untuk membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati mandatori kesalahan jenayah berat seperti kesalahan dadah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, rang undang-undang tersebut dijangka akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac tahun depan bagi memberi lebih kuasa budi bicara kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.

“Saya telah berbincang bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan beliau telah memberikan sokongan walaupun saya sedar perkara ini amat sukar untuk negara, tetapi saya harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menteri berkenaan berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis PGA Rundingan Meja Bulat Parlimen, Pemansuhan Hukuman Mati di Malaysia di Parlimen.

Turut hadir di majlis rundingan tersebut ialah Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, selain disertai oleh Ahli Parlimen dari Australia, Switzerland dan United Kingdom dan pakar-pakar dalam bidang perundangan.

Baru-baru ini, Mohamed Apandi mencadangkan kepada jemaah Kabinet supaya hukuman mati mandatori dimansuhkan, supaya hakim diberi pilihan untuk menjatuhkan hukuman penjara ke atas seseorang atau hukuman gantung sampai mati.

Nancy dalam penjelasan mengenai cadangan itu berkata, pihaknya telah me­ngadakan perjumpaan dengan wakil-wakil dari seluruh dunia yang cuba berbincang serta memujuk kerajaan dalam perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, kerajaan amat jelas untuk melakukan apa yang sepatutnya di jalankan di negara ini sama seperti negara lain tetapi kita ada batasnya,” katanya. -Kedahnews.com