Kerajaan Sudah Cuba Sedaya Upaya Untuk Bebaskan Bernard...

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mencuba sedaya upaya untuk membebaskan tebusan kumpulan Abu Sayyaf (ASG) Bernard Then Ted Fen sebelum mangsa dilaporkan dibunuh, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kumpulan berkenaan pada awalnya telah berjanji dengan pihak perunding Malaysia untuk membebaskan Then, 39, dan seorang lagi mangsa, Thien Nyuk Fun, 50.

“Malangnya mereka telah letak beberapa syarat tambahan dan ini amat tidak dialu-alukan oleh pihak perunding berkenaan,” katanya selepas majlis Menandatangani Perjanjian Mencegah dan Membanteras Jenayah Berat bersama Amerika Syarikat di sini, hari ini.

Then merupakan antara dua mangsa diculik pada 14 Mei lepas oleh empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dalam kejadian 7.45 malam itu.

Bagaimanapun, Thien yang juga pengurus restoran berkenaan dibebaskan kumpulan penculik dari Selatan Filipina itu melalui rundingan antara kerajaan Malaysia bersama kumpulan itu pada 8 Nov lepas.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa Filipina secara rasmi masih belum mengesahkan penemuan kepala di Jolo, Selatan Filipina adalah milik Then.

“Kita terus jalin kerjasama dengan Filipina bukan sahaja pihak berkuasa Filipina tetapi pasukan perunding terus laksanakan tugas mereka dan maklumat yang diperoleh telah disalurkan kepada Bukit Aman dan Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata Malaysia menghormati kedaulatan Filipina dan memohon kerjasama sepenuhnya kerajaan Filipina dalam mengambil tindakan lanjut mengikut amalan antarabangsa termasuk melakukan ujian DNA.

Ahmad Zahid turut menegaskan kerajaan akan berusaha membawa pulang mayat mangsa selepas pengesahan dilakukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serangan pihak tertentu seperti yang berlaku di Paris.

“Apa yang berlaku di Paris dilihat seakan terdapat motivasi kepada pihak tertentu untuk melakukan serangan yang sama, namun kita amat yakin akan kemampuan dan kebolehan PDRM di atas kesiapsiagaan bagi menentukan tiada sebarang usaha dilaksanakan mereka (pengganas),” katanya.

Katanya Malaysia telah meningkatkan kesiapsiagaan di pintu masuk laut, darat dan udara melalui kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis marin dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain.

Pada 13 Nov lepas, dianggarkan lebih 100 orang terbunuh dalam serangan bom dan senjata api di dewan konsert Bataclan, restoran-restoran di pusat bandar dan berhampiran Stade de France.- BERNAMA