Kesal Sikap Mesra Tidak Dihargai, PAC Tegas Tiada Lagi Sidang Media

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin
KUALA LUMPUR – Gara-gara laporan tidak beretika beberapa portal berita pro-pembangkang semalam, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuat keputusan tidak mengadakan lagi sebarang sidang media untuk wartawan.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin menegaskan, pihaknya tidak akan mengadakan sebarang sidang media lagi untuk wartawan bermula daripada mesyuarat jawatankuasa itu pada 23 November ini.

“Selaku pengerusi PAC, saya dukacita kerana usaha mewujudkan suasana mesra di kalangan pengamal media tidak dihargai oleh segelintir petugas media.

“Walaupun gurauan semasa akhir sidang akhbar semalam ketika hendak keluar makan meminta ia tidak ditulis tetapi masih ada segelintir di kalangan pengamal media masih melaporkannya di portal berita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, kata Hasan, segala maklumat oleh PAC akan disampaikan kepada pihak media melalui kenyataan bertulis sahaja.

Hasan semalam menjelaskan beliau cuma berseloroh dengan para wartawan berhubung kenyataan `saya pun cari makan’ yang disebutnya pada satu sidang media di bangunan Parlimen.

Beliau membuat kenyataan itu secara spontan sebagai reaksi kepada soalan bertali-arus wartawan yang mahu tahu sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung 1MDB.

Malangnya, kenyataannya yang berseloroh itu telah disalah anggap dan disalah tafsir pihak media terbabit seterusnya menyiarkan laporan yang disifatkan sengaja mencetus kontroversi sehingga mencetus salah faham dari masyakarat umum.

Ia ekoran segelintir wartawan dipercayai daripada portal berita propembangkang tetap mengasaknya dengan soalan berhubung perkara tersebut meskipun beliau sudah menamatkan sidang media untuk menyertai majlis makan tengahari. –Kedahnews.com