KFA Sedang Kaji Kemuka Aduan Mutu Pengadil Piala Malaysia

Kontroversi yang berlaku semalam
ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sedang mengkaji sama ada akan membuat aduan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia malam tadi.

Laman Facebook rasmi KFA dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa persatuan itu dalam meneliti insiden pasukan PKNS menjaringkan gol sewaktu pemain Kedah sedang meraikan gol kedua pasukan itu.

“Dalam menyelusuri insiden semalam pada babak selepas Sandro Mendonca menjaringkan gol, pihak kami dalam proses meneliti detik dan sebarang fakta bagi membuat rumusan dan akan melihat pilihan jika perlu membuat aduan kepada FAM untuk kebaikan bola sepak Malaysia,” kata pengendali laman Facebook rasmi KFA, hari ini.

Menurut KFA, persatuan itu telah mendapatkan video rakaman perlawanan tersebut daripada TV9, namun gambaran dari sudut lain diperlukan terutamanya dari video rakaman peminat yang menyaksikan perlawanan berkenaan.

Justeru, KFA meminta penyokong pasukan Kedah yang mempunyai rakaman insiden berkenaan supaya mengajukannya kepada mediakfa@gmail.com untuk membantu KFA membuat penilitian mengenai perkara itu.

“Mohon kepada semua penyokong yang hadir semalam hantar sebarang video berkenaan insiden tersebut untuk kegunaan kajian pasukan daripada pelbagai sudut sebagai panduan,” kata KFA lagi.

Perlawanan diantara PKNS dan Kedah malam tadi menyaksikan insiden tegang apabila pengadil perlawanan meneruskan perlawanan walaupun pemain Kedah sedang meraikan kejayaan gol menyebabkan PKNS memperoleh jaringan. –Kedahnews.com


Posted by Kedahnews.com on Sunday, November 29, 2015