Kisah Orang Utan: Habitat Musnah Terbakar, Diseksa Pula Oleh Manusia...



"Sungguh menyayat hati…", itulah yang boleh diungkapkan mengenai sepasang ibu dan anak orang utan yang diselamatkan selepas kedua-duanya dilaporkan diserang oleh penduduk sebuah kampung di Kalimantan.

Keluarga orang utan berkenaan dikatakan tiba di kampung tersebut selepas si ibu menyelamatkan bayinya daripada kebakaran hutan yang sedang membara ketika itu di Indonesia.

Kebakaran hutan di republik tersebut berlaku sejak dua bulan. Difahamkan, kebakaran dicetuskan secara sengaja itu dilakukan bagi membersihkan tanah pertanian, namun merebak ke hutan hujan dan taman negara tahun ini.

Kemunculan ibu dan bayi orang utan itu telah dilaporkan salah seorang penduduk kampung selepas berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran hutan hujan yang menjadi habitat mereka di bandar Ketapang, Borneo.

Menurut unit Penyelamat Haiwan Antarabangsa, yang datang untuk beri pertolongan kepada dua ekor orang utan itu, penduduk kampung bertindak agresif dengan baling objek ke arah si ibu sebelum cuba untuk mengikatnya.

Kumpulan penyelamat itu kemudiannya memberikan anestesia kepada si ibu yang kurus melidi itu manakala bayinya hanya merangkul erat ibunya sepanjang insiden menyayat hati tersebut.

Penduduk kampung tersebut mengelilingi unit penyelamat tersebut sementara mereka membuka ikatan tali yang digunakan untuk mengikat pergelangan tangan haiwan itu dan merawat lukanya.

Spesies orang utan yang mendiami hutan hujan Borneo terpaksa mencerobohi kawasan berpenduduk bagi mendapatkan makanan oleh kerana habitat mereka yang semakin terancam.

Kedua-dua ibu dan anak primat itu kemudiannya dibawa ke kawasan perlindungan di mana mereka telah dikawal selia, sebelum dilepaskan semula ke dalam induk mereka.


Sementara itu, dalam satu laporan yang baharu diterbitkan, dianggarkan satu pertiga daripada bilangan orang utan liar di dunia terdedah kepada ancaman pembakaran hutan di Indonesia.

Kamele Llano Sanchez, pengarah program IAR Indonesia berkata: “Orang utan dan haiwan lain dibakar hidup-hidup, dibiarkan tanpa makanan dan lapar hingga mati, atau diusir daripada habitat mereka ke kawasan pertanian dan perkampungan di mana mereka menerima ancaman bunuh.”

“Kami tidak tahu berapa banyak orang utan yang telah mati sepanjang krisis ini tetapi kami tahu ia sesuatu yang amat menyedihkan dan kemungkinan besar memberi impak kepada populasi orang utan liar kelak.”

“Ini merupakan krisis persekitaran global dan telah dianggap oleh pakar sebagai kecelakaan ekologi buatan manusia paling dahsyat yang akan memberi kesan kepada kehidupan penduduk dunia secara amnya.”

“Saya cuma risaukan tentang nasib orang utan liar di masa akan datang; jika tiada tindakan serius diambil bagi menghentikan kebakaran itu, semuanya akan bakal terlambat,” kata Kamele. –Kedahnews.com