KKM Mula Operasi Serbu Kedai Vape Di Seluruh Negara

SERBUAN yang dibuat di Batu Pahat, Johor.
TIDAK sampai 48 jam amaran dikeluarkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula melancarkan serbuan terhadap beberapa kedai yang didapati menjual perisa rokok elektronik atau vape yang mengandungi nikotin.

Salah sebuah premis yang diserbu secara mengejut itu ialah Cloud Houze Taipan di Subang Jaya, Selangor dan video operasi oleh anggota penguatkuasa tersebut menjadi viral menerusi media sosial tempatan pada Khamis.

Berdasarkan rakaman selama 1 minit 18 saat itu menunjukkan pihak penguatkuasa KKM sibuk memeriksa isi kandungan cecair dalam perisa vape di kedai berkenaan manakala peniaganya dilihat turut memberi kerjasama.

Ia susulan amaran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ketika melancarkan Kempen Makan Secara Sihat sempena perayaan Deepavali di ibu negara pada Selasa yang menegaskan sedia menyita perisa nikotin vape.

Tindakan itu dibuat di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 kerana penjualan nikotin tanpa lesen di pasaran terbuka adalah salah di sisi undang-undang waima vape tidak pula diharamkan oleh pihak kerajaan.

Nikotin merupakan bahan kimia kawalan tetapi hanya dikecualikan dalam pembuatan produk tembakau, manakala aktiviti penjualan cuma boleh dibuat melalui ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.

Peniaga yang didapati ingkar sebenarnya boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-dua sekali menurut akta sedia ada. – Agensi