KPM Mahu Sekolah Capai Peratusan Sifar Kes Buli Seluruh Negara

Gambar Hiasan
ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan mahu semua sekolah di negara ini mencapai peratusan sifar kes buli dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Menteri berkenaan P Kamalanathan.

Beliau berkata walaupun kes buli di sekolah menurun kepada 0.05 peratus tahun lepas berbanding 0.08 peratus pada 2013, kementerian belum berpuas hati dan menganggap perkara itu masih serius.

“Kalau boleh kita mahu sifarkan kes buli di sekolah. Walaupun ia tidak berlaku setiap hari tetapi saya kecewa kerana kes tersebut masih berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kita harap semua pihak termasuk ibu bapa dan guru bekerjasama dalam menangani isu buli daripada terus berlaku pada masa depan,” katanya selepas melawat mangsa buli, Mohd Irfan Azizan, 13, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini Isnin.

Kamalanathan berkata pelajar seharusnya datang ke sekolah untuk menimba ilmu dan bukannya melakukan perkara seperti bergurau secara kasar yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pelajar lain.

Beliau berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat dalam kes buli agar tidak mengulanginya di masa depan.

Mengenai Mohd Irfan, Kamalanathan bersyukur pelajar yang mengalami kecederaan dalaman akibat dibuli itu semakin pulih dan akan dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata walaupun kejadian berlaku di sekolah milik swasta, kementerian akan terus memantau kes berkenaan agar tidak berulang lagi.

Dalam kejadian pukul 3 pagi Khamis lepas, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah agama swasta dekat sini itu mengalami kecederaan dan pendarahan serius di beberapa bahagian badan akibat dibelasah lima senior di asrama sekolah berkenaan selepas dituduh mencuri telefon bimbit.

Sementara itu, bapa Mohd Irfan, Azizan A Aziz, 40, berkata keluarganya telah memaafkan lima pelajar terbabit dan akan menghantar anaknya kembali ke sekolah berkenaan setelah pulih nanti. – BERNAMA