Larangan Debat Dengan Husam Bukan Kerana "Takut" - PAS

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali
KUALA LUMPUR – Tindakan PAS yang melarang debat antara Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dengan pemimpin PAS pro-Pakatan Harapan, Datuk Husam Musa, ditegaskan bukan kerana takut kepada bekas Naib Presiden PAS itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, debat itu dilarang memandangkan mesyuarat PAS Pusat pada 14 November lalu memutuskan Husam akan dipanggil bagi memberi penjelasan tentang tindakannya menyerang pimpinan ulama parti itu.

“Atas dasar itulah PAS menghalang debat antara tersebut. Justeru, larangan debat bukan kerana takut kepada Husam. Apalah nak ditakut pada Husam dengan pelbagai faktanya yang tidak tepat dan salah.

“Apatah lagi jika debat itu antara Husam dengan Cikgu Pa (Mustafa). Cikgu Pa bukan setahun jagung dalam kepimpinan politik,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Mohd. Khairuddin menyelar penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir kerana menuduh PAS takut dan cuba menyembunyikan sesuatu dengan melarang debat itu berlangsung.

“Dunia akademik mengajar mendapatkan fakta dulu sebelum membuat komen bukannnya komen rambang dengan berlapik “saya rasa”, katanya. –Kedahnews.com