BERBEZA dengan kaedah konservatif, pendekatan dakwah yang disampaikan secara humor atau jenaka dilihat lebih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat masa kini.
Bukan sahaja kumpulan tertentu, malah usaha menyebarkan agama Islam menggunakan cara itu turut membuka ruang yang lebih luas kepada semua golongan sasar kerana dikatakan bersifat lebih santai dan mudah diterima.
Sehinggakan menjadi fenomena terkini, pendakwah yang mampu berjenaka atau menyelitkan unsur lawak dalam ceramah yang disampaikan akan lebih digemari dan mendapat permintaan ramai terutamanya golongan muda dan remaja.
Walau bagaimanapun, sejauh manakah batasan kaedah yang semakin menjadi ikutan itu untuk diamalkan, lebih-lebih lagi ketika berada di dalam rumah ibadah iaitu surau atau masjid.
Dr. Muhammed Yusof |
Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Muhammed Yusof berkata, jenaka yang diselitkan ketika menyampaikan ceramah perlulah tidak keterlaluan dan mematuhi batasan bergurau.
Ini tambahnya kerana, jenaka yang disampaikan secara keterlaluan dikhuatiri boleh menjadikan tujuan dakwah tersasar selain mengakibatkan hilang keberkatan dalam menuntut ilmu.
“Jika kita lihat sekarang ini, lawak jenaka seperti sudah sebati dalam ceramah dakwah. Malah, trend itu turut menarik perhatian segelintir individu yang menghadiri ceramah hanya kerana menantikan lawak yang ingin disampaikan oleh penceramah tersebut.
“Sehinggakan seluruh masjid atau kawasan itu dipenuhi dengan suara gelak ketawa seakan-akan berada dalam program komedi.
“Apa yang dibimbangi, ceramah yang pada asalnya disampaikan bagi menyebarkan ajaran Islam itu boleh membawa kesan negatif bukan sahaja kepada pendengar dan penceramah, malah kepada imej Islam keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja Humor Daripada Perspektif al-Sunnah pada Seminar Antarabangsa Sunnah Nabawiah KE-3 (Musnad III) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebanyak 24 pembentangan kertas kerja dibentang sepanjang seminar dua hari itu berlangsung.
FITRAH MANUSIA
Muhammed bagaimanapun berkata, Islam tidak menghalang berjenaka sebaliknya mengharuskan perbuatan tersebut jika membawa kesan yang positif.
Malah akui beliau, penyampaian dakwah yang diselitkan dengan unsur gurauan juga dilihat lebih berkesan dalam mempengaruhi golongan sasar untuk menerima subjek yang ingin disampaikan.
“Islam merupakan agama fitrah bagi manusia, begitu juga bergurau atau berhibur juga adalah sifat fitrah semula jadi bagi manusia. Oleh itu, humor di dalam ceramah agama adalah diharuskan selagi tidak bertentangan dengan syariat.
“Sehinggakan Rasulullah SAW ketika hayatnya bergurau bersama sahabat sebagaimana beberapa kisah yang diriwayatkan, kerana ia boleh memberi ketenangan, meringankan bebanan fikiran dalam kehidupan.
“Bertepatan dengan kaedah psikologi juga, dengan bergurau atau mengambil hati seseorang individu akan lebih mudah mempengaruhi dan menegur kesalahan yang dilakukan,” jelasnya.
Muhammed berkata, perkara itu sekali gus menjawab dakwaan segelintir yang menolak sepenuhnya keadah jenaka dalam menyampaikan dakwah kerana mengatakan ia berbentuk hiburan.
“Terdapat segelintir pihak yang ‘keras’ dalam agama mengatakan jenaka dalam berdakwah adalah bercanggah dengan konsep agama Islam kerana mereka menganggap agama adalah sesuatu yang serius dan tegas.
“Sedangkan Islam menuntut kepada amalan wasatiyyah (bersederhana) dalam kehidupan harian dan menangani sebarang isu. Islam juga merupakan agama yang realistik dalam kehidupan,” ujarnya.
BATASAN BERGURAU
Muhammed berkata, Islam telah menggariskan beberapa batasan supaya jenaka yang disampaikan membawa nilai positif dan bertepatan dengan syariat.
Beliau berkata, ulama terkemuka, Yusof al-Qaradawi dalam buku karangannya, ‘al-Islam wa al-Fann’ menggariskan beberapa etika dalam berjenaka iaitu antaranya tidak menjadikan bahan dusta, mengandungi unsur-unsur menghina, mempersenda dan mempermainkan orang lain.
Gurauan juga tambahnya, jangan sampai menyebabkan seseorang itu terkejut atau cemas dan tidak bergurau dalam perkara yang serius atau ketawa dalam situasi yang memerlukan tangisan.
“Kesemua perkara ini perlu dititikberatkan oleh pendakwah, jika sumber itu didapati palsu dan tidak benar, berkemungkinan besar maklumat itu akan dijadikan hujah oleh jemaah yang hadir untuk disebarkan kepada orang lain.
“Secara tidak langsung menyebabkan maklumat palsu berleluasa dan tersebar meluas dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sumber: Utusan