GAMBAR dirakam minggu lalu ini menunjukkan keadaan jerebu di Palangkaraya, Kalimantan Tengah ketika itu |
Jambi - Tiga kapal milik tentera laut Indonesia masih ditempatkan di Kalimantan Selatan sebagai persediaan memindahkan penduduk walaupun keadaan jerebu semakin pulih di wilayah berkenaan.
Perkara itu diumumkan selepas jumlah penduduk yang dijangkiti penyakit berkaitan pernafasan, berpunca daripada jerebu di wilayah itu kini meningkat melebihi setengah juta orang.
Ketua staf tentera laut Indonesia, Ade Supandi berkata, kapal berkenaan masih berlabuh di pangkalan Banjarmasin dan bersedia memindahkan penduduk pada bila-bila masa sekiranya keadaan jerebu kembali buruk.
“Dua kapal ini masih bersedia di Banjarmasin, arahan bersedia memindahkan penduduk tidak dibatalkan.
“Adakah kamu jangka kami akan meninggalkan penduduk ini?” katanya kepada wartawan.
Kapal itu dihantar sebagai langkah kecemasan untuk memindahkan penduduk yang terjejas selepas keadaan jerebu semakin buruk di wilayah berkenaan pada bulan lalu.
Jurucakap Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sekurang-kurangnya 556,945 penduduk disahkan dijangkiti pelbagai jangkitan pernafasan kerana terdedah kepada udara tercemar akibat kebakaran hutan.
Katanya, Jambi dan Sumatera Selatan adalah kawasan paling teruk terjejas apabila mencatatkan 151,839 kes jangkitan paru-paru.
Tambahnya, walaupun jerebu masih berlaku, tetapi parasnya tidak bahaya dan tidak memerlukan penduduk dipindahkan. - Agensi