Lelaki Bawa Selori Wang Kecil Untuk Beli Apartment RM300,000

WANG yang dibawa di belakang lori.
SHANDONG - Seorang lelaki yang jelas tidak mensia-siakan kegunaan duit kecilnya, membawa satu lori dipenuhi dengan syiling mata wang rendah dan nota kertas untuk membeli sebuah apartmen, minggu lalu.

China News melaporkan, pada 18 November lalu seorang broker hartanah dari bandar Rizhao mendapat panggilan daripada pembeli yang berminat membeli hartanah yang berharga 400,000 yuan (RM300,000).

Bagaimanapun, pembeli yang dikenali sebagai Gao itu bertanya beberapa soalan mengenai sama ada kaedah pembayarannya akan diterima atau tidak.

Pada keesokannya, lelaki itu muncul di depan pejabat hartanah menaiki lori dengan harapan duit syiling yang diletakkan dalam sembilan peti di tempat duduk belakang kenderaannya mampu membayar harga apartmen yang dibelinya.

Dua kakitangan bank ditugaskan mengira semua wang yang mengandungi campuran nota 0.5 dan 1 yuan serta syiling 1 yuan.

Bagaimanapun, sehingga 19 November lalu, mereka hanya mampu mengira sehingga 40,000 yuan (RM30,000).

Gao dilaporkan berurusan dengan syarikat pengangkutan awam tempatan yang sering membayarnya menggunakan wang kecil.

Ketika bercakap kepada wartawan, ketua bank tempatan itu memberitahu begitu jarang melihat seseorang membuat pembayaran dalam jumlah yang besar menggunakan wang kecil. - Agensi