Gambar Hiasan |
PETALING JAYA - Seorang lelaki yang diyakini "desperado" bukan saja gagal merakam aksi seorang wanita yang sedang mandi, malah dia turut "dikhianati" oleh telefon bimbitnya sendiri yang digunakan untuk menunaikan niat jahatnya itu.
Lelaki berkenaan cemas dan panik bila menyedari mangsa yang cuba dirakamnya itu berjaya mengesan sebuah telefon dalam mod rakam di tingkap bilik air rumahnya di sebuah kondominium di sini pada Ahad lalu.
Lebih menarik lagi, meskipun lelaki gatal tersebut tersebut sempat melarikan diri namun dia tidak sempat untuk mengambil telefon bimbitnya itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Zaini Che Din berkata, suspek berusia sekitar 40-an itu telah dicekup polis keesokan hari selepas kejadian, di kediamannya di Seksyen 12, di sini, berdasarkan gambar salinan kad pengenalan yang terdapat dalam telefon bimbit berkenaan.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.03 pagi hari tersebut.
"Sebaik saja menyedari adegan beliau sedang dirakam, mangsa merampas telefon berkenaan dan menjerit beberapa kali menyebabkan suspek terus melarikan diri,"katanya yang dipetik dari mStar.
Zaini turut menjelaskan bahawa suspek ketika disoal telah menjelaskan dia telah kehilangan telefon bimbitnya di tempat kejadian, sewaktu melawat rakannya yang tinggal di kondominium yang sama.
Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak membuat laporan polis berkenaan kehilangan itu.
Suspek difahamkan telah direman empat hari bermula semalam dan barang bukti kes telah dirampas serta dihantar ke jabatan forensik untuk analisis, kata Zaini dalam kenyataan media yang dibuat semalam. -Kedahnews.com