Kisah Menarik: "Lepas Pandang, Di Hon Pula...Saya Tak Sedap Hati..."


Seorang lelaki berkongsi kisah di laman sosial yang agak menarik untuk dikongsikan kepada masyarakat umum tentang satu kejadian ketika dia sedang memandu kereta dalam perjalanan ke nurseri bersama isterinya.

Lelaki itu  terkejut apabila menyedari keretanya sedang diekori oleh sebuah motorsikal yang ditunggang oleh satu pasangan berbangsa India yang tidak dikenali.

"Ada pasangan India pandang-pandang. Lepas pandang dihon.. hon pula. Saya tak sedap hati," luahnya.

Lelaki itu kemudiannya bertindak memberhentikan kereta setelah diekori dengan agak lama, apatah lagi anak dan isterinya turut berada dalam kereta yang dipandu.

Memberanikan diri menghadapi situasi itu, dia keluar dengan perasaan gementar dan curiga menemui pasangan di atas motorsikal terbabit.

Bagaimanapun, selepas mengetahui punca pasangan India itu mengekorinya sejak sekian laian telah menyebabkan dia amat terkejut dan tergamam seketika.

Tanggapan negatifnya terpadam sama sekali kerana pasangan terbabit menjelaskan bahawa mereka mengekori keretanya semata-mata untuk memulangkan dua telefon bimbit dan beg duit milik isterinya yang tercicir.

Difahamkan ketika barang berharga isterinya tercicir, pasangan India itu ternampak kejadian berkenaan dan bertindak mengambil dengan niat mahu memulangkan barangan milik isterinya itu.


Sebaik memberikan barangan tersebut pasangan itu segera beredar pergi, meninggalkan pemandu kereta yang masih dalam keadaan terkejut, terharu dan amat berterima kasih kepada pasangan India itu.

Pada pandangan kami, kerana insiden seperti inilah agama Islam menganjurkan umatnya supaya tidak mudah berburuk sangka terhadap mana-mana pihak selagi tiada sebarang bukti kukuh untuk kita merasa curiga terhadap mereka.

Bagaimanapun di zaman serba moden kini di mana pelbagai kejadian jenayah dan malang tidak dapat dihidu, adalah amat penting untuk kita berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil.

Syabas kami ucapkan kepada pasangan India tersebut kerana mereka membuktikan bahawa keikhlasan dan sikap jujur masih lagi tebal di kalangan rakyat Malaysia meskipun kita hidup di zaman yang semakin kurang beradab ini. Tahniah! -Kedahnews.com