LHDN Disaran Serap Pegawai Sambilan Ke Jawatan Tetap


KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disyor mengkaji keperluan melantik pegawai sambilan di Unit Pemungutan agensi itu ke jawatan tetap.

Saranan oleh Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri Tiga itu menganggap ini penting bagi memastikan pengetahuan pegawai sambilan yang berpengalaman dapat dimanfaatkan serta menjimatkan masa berbanding langkah melantik dan melatih pegawai baharu.

“Pengambilan pegawai baharu juga akan memberi implikasi kos kewangan tambahan bagi tujuan melatih dan boleh mewujudkan kos peluang kepada pihak pengurusan LHDN,” kata laporan yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

Laporan itu juga menunjukkan kutipan cukai Pengurusan Percukaian Individu Berpendapatan Perniagaan (Fail OG) bagi 2013 meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada RM309.63 juta berbanding 2012.

Bagaimanapun, Laporan Ketua Audit itu turut membangkitkan beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh LHDN, termasuk peratusan penerimaan Borang B bagi tahun taksiran 2011, 2012 dan 2013 yang masing-masing pada kadar 51.2 peratus, 49.5 peratus dan 44.2 peratus serta sebahagian Fail OG yang tidak dapat ditentukan statusnya.

“Sejumlah 98,239 kes atau 51.2 peratus pembayar cukai tidak mengemukakan Borang B dan tidak dapat ditentukan sama ada LHDN mengambil tindakan (susulan),” katanya.

Kelemahan lain termasuk tiada tindakan sekatan ke luar negara bagi sebanyak 802 kes yang membabitkan tunggakan cukai berjumlah RM25.5 juta, kata laporan itu.

“Tindakan guaman sivil terhadap 1,356 pembayar cukai dengan tunggakan berjumlah RM42.68 juta juga tidak dikenakan,” katanya.

Sehubungan itu, pihak audit mengesyorkan agar LHDN meningkatkan mekanisme pemantauan lebih sistematik dan menyeluruh terhadap aspek penerimaan Borang B supaya masalah kegagalan mematuhinya dapat ditangani segera.

Pengurusan LHDN juga disyor supaya mengemas kini data pembayar cukai yang layak dikenakan cukai.

“Proses tindakan pemungutan tunggakan hasil perlu dilakukan secara lebih sistematik, konsisten, menyeluruh dan segera,” kata laporan itu. – BERNAMA