Kuala Lumpur - Nama dan logo XPDC sudah dipaten syarikat rakaman Life Records sejak 1 Julai 1998 dan ia adalah hak mutlak syarikat terbabit, bukannya anggota XPDC.
Pengurus Promosi dan Pemasaran Life Records Sariah Idris berkata, pihaknya tidak menghalang anggota kumpulan itu menggunakan nama XPDC tetapi penganjur untuk persembahan mereka perlu menulis surat dan meminta kebenaran Life Records untuk menggunakan nama dan logo kumpulan itu.
“Kami hanya membenarkan mereka gunakan nama XPDC. Untuk terbabit dengan mana-mana persembahan ia perlu diuruskan penganjur, bukan anggota XPDC.
“Walaupun perancangan untuk persembahan dibuat anggota XPDC, kami perlukan surat daripada penganjur. Ia adalah syarat yang ditetapkan dan perlu dipatuhi semua,” katanya.
Syarikat rakaman terbabit tampil memberi kenyataan berikutan dakwaan anggota XPDC iaitu pemain bass, Zuar dan pemain gitar, Izo yang mendakwa XPDC adalah milik mereka dalam sisipan RAP, Harian Metro, hari ini dan semalam.
Kemelut membabitkan nama kumpulan heavy metal popular itu tercetus apabila ia terpecah kepada dua dan masing-masing mendakwa ada hak ke atas nama XPDC.
XPDC yang dianggotai Mael (penyanyi), Zuar (bass), Amy (dram) dan Jeff (gitar) akan mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Melaka, Ahad ini, manakala XPDC yang dianggotai Ali (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bass), Lola (dram) dan Arif (gitar) akan mengadakan persembahan di Perlis tidak lama lagi.
Sariah berkata, Life Records memang pernah mengadakan perbincangan secara berasingan dengan Izo dan Zuar dan mengeluarkan kenyataan mahu melihat kumpulan ini menghasilkan single, tapi hasrat mereka hanya mahu melihat XPDC kembali bergabung.
“Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila mereka tampil dengan barisan anggota masing-masing dan mendakwa berhak menggunakan nama XPDC,”katanya.
Sumber: myMetro