Gambar Hiasan |
BEIRUT - Pihak berkuasa Lubnan hari ini menahan dua individu warga Lubnan dan seorang warga Syria atas tuduhan mengintip untuk Israel.
"Dalam rangka operasi memerangi keganasan dan pengintipan, Lembaga Keselamatan Awam Lubnan menahan satu rangkaian pengintip dipercayai bekerja untuk Israel di selatan negara itu," kata perkhidmatan keselamatannya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu berkata, tiga yang ditahan itu termasuk seorang lelaki warga Syria serta isterinya warga Lubnan dan seorang lelaki Lubnan. Ketiga-tiganya hanya dikenal pasti berdasarkan dokumen ringkas mereka.
Bagaimanapun, tidak dimaklumkan butiran mengenai tempat dan masa atau lokasi ketiga-tiganya ditahan.
Menurut kenyataan itu, semuanya mengakui mereka mengumpul maklumat mengenai individu dan keselamatan serta sasaran tentera.
Ketiga-tiganya juga didakwa membuat rakaman sulit di jalan raya dan kawasan lain di selatan Lebanon, sebelum menghantarnya kepada majikan mereka untuk diguna bagi tujuan serangan akan datang. Lubnan dan Israel masih dalam keadaan konflik perang teknikal.
Pada tahun 2006, pergerakan Syiah Hizbullah Lubnan bertempur selama sebulan dengan negara Yahudi.
Konflik itu mengorbankan lebih 1,200 orang di Lubnan, kebanyakannya orang awam dan kira-kira 160 rakyat Israel, sebahagian besarnya adalah tentera.
Disember lalu, Hizbullah menahan seorang pegawai kanan parti selepas didakwa mengintip untuk Israel dan mensabotaj operasi keselamatan di luar negara.
Di antara April 2009 dan 2014, pihak berkuasa Lubnan menahan lebih daripada 100 orang, dituduh mengintip untuk Israel, sebahagian besar adalah anggota tentera atau pekerja telekomunikasi. - AFP