Mahasiswi IPT Mengaku Syi'ah, Tuduh Sahabat "Kafir", "Munafiq"!


Cuba bayangkan anak yang anda tatang dari kecil, yang anda tumpahkan kasih sayang sepenuhnya dan dilengkapi dengan ajaran Islam yang sebenar, tiba-tiba terpesong akidahnya memperhambakan diri pada ajaran Syi'ah yang sesat.

Bagaimana agaknya reaksi kita apabila mengetahui anak yang kita sayangi itu berpegang pada akidah yang percaya bahawa 12 imam yang diagung-agungkan fahaman itu setaraf Rasulullah SAW dengan sifat "maksum"?

Bukan sekadar cakap kosong kerana perkara berkenaan sememangnya terbukti sudah berlaku, sedang berlaku dan dikhuatiri akan berlaku lagi dalam skala gerakan yang lebih besar sehingga mencetus kebimbangan ramai pihak.

Dalam pendedahan eksklusif dari Kedahnews.com yang terkini, sumber kami menjelaskan tentang kisah seorang penuntut di institusi pengajian tinggi di Malaysia yang berjaya dikesan telah terpengaruh dengan fahaman Syi'ah.

Gadis bertudung litup labuh, dipercayai bukanlah yang pertama menjadi mangsa penyebaran dakyah Syi'ah secara tersembunyi. Malah dikhuatiri, gerakan tersebut dilihat mampu menarik ramai lagi mahasiswa dan mahasiswi di negara kita untuk 'menganut' ajaran sesat itu.

Lebih memeranjatkan, gadis yang dilihat begitu lembut itu tidak disangka-sangka memegang iktikad menganggap para sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab dan Uthman Al-Affan sebagai kafir dan dilaknat.

Dalam satu perbualan yang membuktikan akidah mahasiswi yang terpesong akidahnya kepada Syi’ah itu, dia secara jelas menyalah erti sebuah hadis Rasulullah SAW yang dipesong pengertiannya oleh ulama ajaran songsang itu yang merujuk pada peristiwa “Ghadir Khom”.

Gara-gara terpengaruh dengan dakyah rekaan palsu Syi’ah yang diterapkan padanya menerusi hadis berkenaan, mahasiswi berkenaan tidak teragak-agak menganggap para sahabat terkanan Rasulullah SAW itu sebagai “munafiq”, “kafir” dan “dilaknat”.

Tidak dapat dinafikan bahawa para pendakyah Syi’ah ini secara turun temurun sejak di zaman Abdullah bin Saba’ lagi mereka sudah terlatih untuk bijak memanipulasi, mereka-reka riwayat palsu dan memesongkan hakikat sebenar hadis-hadis Rasulullah SAW dan firman Allah SWT di dalam Al-Quran sebagai “senjata” untuk mengelirukan umat Islam.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul", begitulah perumpamaan bagi pihak yang selama bertahun-tahun berjuang membendung dan mencegah gejala fahaman songsang Syi'ah yang kian mengancam akidah ummah dari masa ke semasa.

Setelah diamanahkan Allah SWT dengan ilmu dan kefahaman Islam, disulami dengan kajian dan penyelidikan yang mendalam berkenaann fahaman yang difatwakan sesat itu, pihak tersebut mengambil tanggungjawab memelihara akidah menerusi pelbagai kaedah, termasuk mendedahkan tentang kebejatan Syi'ah.

Bukan bersandarkan "cerita di atas cerita", beberapa individu yang menjadi sumber kami ini sememangnya digeruni oleh mereka yang berfahaman Syi'ah sehingga ada yang bermati-matian mengelak bertemu dengan mereka.

Kedahnews.com sedang dalam proses menyiarkan sebuah rakaman perbualan di antara seorang Ustaz dengan seorang mahasiswi yang mengaku menganut "agama" Syi'ah sebagaimana yang kami laporkan di atas dan dia dikatakan enggan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Kami akan siarkan dalam masa yang terdekat, insha Allah! -Kedahnews.com