Mahasiswi "Kantoi" Reka Cerita Jumpa Bayi, Padahal Anaknya Sendiri


HELAH seorang penuntut universiti awam yang menyembunyikan kelahiran bayinya daripada keluarga dengan mereka cerita kononnya terjumpa seorang bayi akhirnya terbongkar jua.

Wanita itu akhirnya mengaku bayi tersebut anaknya yang dilahirkan di Felda Jengka 3, Maran, dua hari lepas.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dia memberitahu ibunya bayi tersebut ditemui di hadapan rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Md Radzi berkata, siasatan awal mendapati penuntut berkenaan sebenarnya sengaja mereka cerita palsu kerana takut perkara sebenar diketahui keluarganya.

“Suspek sengaja membuat cerita palsu memberitahu kononnya dia menemui bayi berkenaan di atas meja di depan rumahnya ketika mahu menyidai pakaian sebelum dia menghubungi ibunya memaklumkan kejadian,” katanya.

Bayi perempuan yang ditemui cukup sifat dan masih bertali pusat itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber: Harian Metro