Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar |
KUALA LUMPUR - "Saya Pas yang beramanah," demikian respon Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika disoal Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tentang kesetiaannya terhadap Pas.
Mahfuz yang merupakan Ahli Parlimen Pas berkata demikian ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2016 pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini, hari ini.
"(Ahli Parlimen) Pokok Sena (Mahfuz) ini Pas atau Amanah? Saya selalu keliru sama ada Pokok Sena ini Pas, atau Amanah," soal Speaker sewaktu Mahfuz membahas usul tersebut.
Persoalan itu mengundang keriuhan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung semalam.
Tidak melatah, Mahfuz menegaskan bahawa beliau masih berpegang teguh kepada parti Islam itu.
"Hendak jadi ahli politik, ahli Pas perlulah beramanah dalam menjalankan tugas," katanya ketika keriuhan di Dewan beransur reda.
Sementara itu, dalam perbahasan Mahfuz, beliau mempersoal penggunaan alat berlainan dalam ujian cermin gelap kenderaan di negara ini.
Menurutnya, penggunaan alatan berlainan dalam ujian itu akan menyebabkan penghasilan keputusan berbeza, sekaligus menyukarkan pengguna untuk mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap yang dibenarkan.
Sumber: Sinar Harian