Mahfuz (kanan) ketika mendengar pandangan penduduk mengenai Bajet 2016, semalam. |
POKOK SENA - Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM267.22 bilion, di mana RM215.22 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM52 bilion (perbelanjaan pembanggunan), tidak memberikan kelegaan kepada rakyat yang berdepan kesempitan hidup akibat kenaikan harga minyak, tol, kejatuhan nilai ringgit, GST dan skandal 1MDB.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, bajet itu tidak akan mengubah persekitaran mahupun melonjakkan ekonomi negara atau pengukuhan nilai ringgit Malaysia mahupun meringankan kos sara hidup.
“Sebagai rakyat, bajet ini tiada apa pembaharuan, tiada faktor ‘wow’ yang dapat melegakan rakyat. Apa diharap pada bajet ini jika rakyat sudah tahu kesempitan hidup mereka berpunca daripada pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya, selepas Sembang Santai Bajet 2016 di Lepai, kelmarin.
Menurutnya, bajet yang dibentangkan tidak mampu melonjakkan nilai ringgit kembali pulih ketika Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009, dengan kedudukan nilai matawang ringgit RM3.60 (AS$1) berbanding terkini sekitar RM4.21.
“Pada 24 Oktober lalu, harga tukaran di pengurup wang KLIA 2 adalah RM4.57 untuk AS$1. Ini bermakna kita memerlukan 70 sen hingga 90 sen tambahan bagi menyamai nilai pada 2009. Ini petanda krisis kepercayaan terhadap kepimpinan Najib dan kerajaan BN begitu parah,” katanya.
Mahfuz berkata, bajet ini juga tidak membantu rakyat untuk keluar dari kesempitan hidup.
“Impak GST tidak dirasai walaupun kutipan GST mencecah RM27 bilion untuk 2015 dan mengunjurkan kutipan sebanyak RM39 bilion untuk 2016,” katanya.
Manakala pemberian BR1M dari RM950 setahun kepada RM1000 juga tidak memberi kelegaan kepada rakyat, kerana pertambahan 14 sen sehari untuk dibelanjakan daripada RM2.60 kepada RM2.70, tidak mampu untuk membeli ikan termenung sekilo yang mencecah RM10-RM14.
“Bagi penduduk bandar di Lembah Klang khususnya dibelenggu dengan kenaikan tol. Bermakna tiada apa yang mengejutkan atau menggembirakan rakyat dari bajet ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian