Petaling Jaya - Mahkamah Rendah Syariah, hari ini, mengesahkan perkahwinan anak perempuan Menteri di JPM masih sah, selepas suaminya melafazkan sumpah syarie bagi menafikan dakwaan cerai wanita itu.
Hakim Syarie Husaini Roslin membuat keputusan itu selepas Mohd Khairi Mat Jahaya, 33, membuat sumpah bagi menafikan bahawa dia ada melafazkan cerai terhadap Nur Zafirah Shahidan, 31.
Mohd Khairi diwakili peguam syarie Siti Nor Aira Mat Johar manakala Nur Zafirah diwakili peguam syarie Situ Aisyah Din.
Terdahulu Nur Zafirah memberitahu mahkamah bahawa Mohd Khairi ada melafazkan `Abang ceraikan kamu’, pada 19 Ogos lalu, melalui panggilan telefon, ketika masing-masing dalam perjalanan ke destinasi berlainan.
Nur Zafirah berkata, ketika itu dia membuat panggilan terhadap suaminya bagi meminta penjelasan berhubung perkahwinan kedua Mohd Khairi.
Bagaimanapun, Mohd Khairi menafikannya ada melafazkan talak namun mengakui bahawa dia sudah berkahwin kali kedua.
Oleh itu, mahkamah memerintahkan beliau membuat sumpah syarie.
Sementara itu, mahkamah yang sama menetapkan, 19 November ini, untuk Mohd Khairi melantik hakam (wakil) berhubung kes cerai yang difailkan oleh Nur Zafirah pada 30 Mac 2015.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa pasangan itu sudah setahun tidak tinggal bersama.
Mereka berkahwin pada 5 Julai 2007 dan dikurniakan dua anak.
Sumber: myMetro