KOMANDO polis Filipina mengambil bahagian dalam latihan semalam, menjelang sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan diadakan di Manila, minggu depan. |
Manila - Filipina semalam meningkatkan kawalan bagi menjamin keselamatan ribuan perwakilan ke sidang kemuncak pemimpin Asia Pasifik di Manila minggu depan selepas serangan pengganas di Paris.
Semua anggota keselamatan di 7,100 pulau negara itu dikerah berjaga-jaga sepenuhnya.
Hampir 20 pemimpin dijadual menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Lebih 150 orang terbunuh dalam beberapa senangan di Paris semalam.
“Kami meningkatkan kawalan keselamatan kerana APEC. Ia sebahagian prosedur rutin selepas kejadian di Paris,” kata jurucakap polis Wilbern Mayor.
Helikopter tentera udara dan bot pasukan pengawal pantai semalam mula mengawal kawasan mesyuarat APEC.
Negara itu sebelum ini sudahpun mengerah 30,000 polis dan tentera di seluruh Manila bagi melindungi pemimpin dan perwakilan ke persidangan APEC.
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara pemimpin yang akan menghadiri sidang kemuncak itu.
“Setakat ini, tidak ada maklumat mengenai sebarang ancaman terhadap APEC daripada kumpulan pengganas. Satu-satunya ancaman yang kami jangka ialah daripada kumpulan penunjuk perasaan,” kata ketua pasukan keselamatan APEC Jeneral Jonathan Miano.
Khamis lalu, penganjur sidang berkata, semua bangunan di di Manila Bay yang akan dilalui kenderaan membawa pemimpin dunia diarah ditutup sebagai langkah keselamatan.
Setakat ini tidak diketahui hubungan antara militan Negara Islam (IS) dengan kumpulan pengganas Filipina. Bagaimanapun, kumpulan militan yang berpusat di selatan negara itu sebelum ini pernah melancarkan beberapa serangan di Manila. - Agensi