Masyarakat Dayak Gembira Adenan Tukar Klasifikasi Istilah "Lain-Lain"

Gambar Hiasan
MIRI - Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) amat menyambut baik dan mengalukan usaha mengklasifikasi masyarakat Dayak di Sarawak sebagai Dayak dan bukannya ‘lain-lain’ seperti sebelum ini, sebagaimana tertera dalam borang-borang khususnya dikeluar pelbagai agensi kerajaan.

Setiausaha PEDAS Bill Kayong berkata, sebagai masyarakat peribumi di negeri ini, masyarakat Dayak berhak diberi tempat lebih baik dan sama rata, sebaliknya istilah ‘lain-lain’ seolah-olah satu diskriminasi dan merugikan kaum itu.

“Ia sesuatu yang amat memalukan bukan sahaja bagi bangsa itu sendiri tetapi juga kerajaan yang dilihat sebagai tidak prihatin dengan kepelbagaian kaum,” katanya.

Jelasnya, mereka gembira apabila kerajaan mengumumkan tiada lagi penggunaan klasifikasi ‘lain-lain’ sebaliknya masyarakat Dayak di negeri ini akhirnya bangga menulis di ruangan kaum bahawa mereka merupakan ‘Dayak’ dan bukan ‘lain-lain’.

“Setiap kali apabila kita perlu mengisi borang kerajaan, akan terbit rasa marah, terkilan dan malu kerana kategori bangsa hanya disediakan untuk Melayu, Cina dan India sahaja manakala kaum lain yang bukan daripada kalangan ketiga-tiga bangsa ini dikategorikan sebagai ‘lain-lain’.

“Kami masyarakat Dayak bukan salah satu daripada ketiga-tiga kaum berkenaan, tetapi kami kaum Dayak adalah asli dan penghuni asal tanah Borneo ini dan kami dikenali sebagai Dayak. Maka tidak wajar untuk istilah ‘lain-lain’ diberi kepada kami,” katanya.

“Sehubungan itu, kami menyokong sepenuhnya langkah kerajaan persekutuan untuk mengeluarkan istilah ‘lain-lain’ dalam ruang untuk bangsa dalam borang rasmi, sebagai Dayak.

“Kita berharap langkah ini akan dikekalkan dan tidak akan diubah lagi atau kembali kepada ‘lain-lain’ lagi, melainkan Dayak sahaja,” tambah beliau lagi ketika mengulas mengenai isu berkenaan yang dipaparkan dalam media massa, selepas kerajaan menggantikan ‘lain-lain’ bagi kategori bangsa kepada bangsa Dayak, untuk peribumi Dayak di Sarawak.

Dalam perkembangan lain pula Bill berkata PEDAS akan terus meminta kerajaan negeri dan pusat supaya mengiktiraf dan melindungi tanah ‘Pemakai Menoa’ dan ‘Pulau Galau’ sebagai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Sumber: UB