Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu |
KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat untuk melahirkan 'anak sulung' di Sarawak dalam pilihan raya negeri itu yang bakal berlangsung tahun depan.
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, antara tumpuan parti dalam waktu terdekat ialah persediaan menghadapi Pilihanraya Raya Negeri (PRN) Sarawak dan mempunyai calon boleh menang di negeri itu.
"Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka berlaku pada bila-bila masa tahun depan. Bila diumumkan, Amanah akan cuba bertanding.
"Kita akan cuba lahirkan 'anak sulung' Amanah di Sarawak. Yang ada sekarang, orang kata 'anak tumpang'," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian bangunan Wisma Amanah Negara di sini, Sabtu.
Sementara itu, mengenai pilihan raya umum akan datang, beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.
"Di Semenanjung kita belum bincang lagi hal itu kerana tiga bulan pertama ini kita tumpu dahulu tentang soal pendaftaran ahli. Setakat ini, dah ada antara 70,000 sehingga 80,000 ahli.
"Mungkin tahun depan, setelah cawangan dan kawasan wujud, baharu kita akan tumpu tempat mana hendak bertanding," katanya.
Ditanya mengenai matlamat Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya menerusi persaingan satu lawan satu, Mat Sabu berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.
"Tetapi harapan kita sudah tentu untuk bertanding satu lawan satu dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.
"Untuk (pilihan raya umum), kita belum bincang lagi, sama ada hendak bertanding di mana," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Azmin Ali pada Sabtu yang menegaskan bahawa matlamat Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya ialah pertandingan satu lawan satu dan pertikaian dalam gabungan itu perlu diselesaikan.
Sumber: mStar