Menantu PM Beri Kata Dua Pada Ahli Parlimen Melayu DAP


ALOR SETAR - Menantu Perdana Menteri, Daniyar Kesikbayev dilapor memberi kata dua kepada Ahli Parlimen Raub, Mohd Ariff Sabri berikutan penyiaran sebuah artikel yang dikatakan cuba memburuk-burukkan dirinya.

Mohd Ariff dituntut supaya menarik balik artikel berkenaan dengan kadar serta merta dan memohon maaf kepada beliau dalam tempoh 48 jam, atau bakal berdepan dengan tindakan saman dari pihaknya.

"Ia berniat jahat, tidak berasas dan penipuan yang boleh menggugat reputasi anak guam kami, Daniyar Kesikbayev dan nama baik keluarganya.

"Perkataan yang ditulis Mohd Ariff Sabri adalah berniat untuk memburukkan reputasi Daniyar Kesikbayev," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan menerusi firma guaman Messrs Noorhajran Mohd Noor.

Ahli Parlimen DAP itu difahamkan telah menulis sebuah artikel menerusi laman blognya, Sakmongkol AK47, bertajuk  “Faulty Reward System and Changeable Governments” yang disiarkan semalam.

Ia turut disiarkan menerusi portal pro-parti politik pembangkang, Malaysia Chronicle pada hari sama dengan tajuk "Son-in-law Daniyar to be Najib's new 'Jho Low': Disquiet over contract to renovate Govt's office in New York.".

Ahli Parlimen (DAP) Raub, Mohd Ariff Sabri
Artikel itu dikatakan mendakwa bahawa bangunan kediaman wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) di New York akan menjalani pengubahsuaian besar-besaran dalam masa terdekat menerusi projek yang bernilai berbilion dolar.

Tulis artikel itu lagi, projek berkenaan didakwa diperoleh Kesikbayev yang merupakan suami kepada anak Perdana Menteri, Nooryana Najwa.

Bagaimanapun, firma guaman itu menegaskan bahawa dakwaan oleh wakil rakyat DAP itu sebagai tidak benar dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan.

Turut difahamkan bahawa Kesikbayev menangguhkan semua hak sivil dan jenayah sehingga kes itu dibawa ke mahkamah. -Kedahnews.com