Menginap Di "Homestay" Lebih Menjadi Pilihan Pelancong Antarabangsa

Gambar Hiasan
TEMERLOH – Lebih ramai pelancong antarabangsa menjadikan inap desa sebagai destinasi percutian berdasarkan peningkatan sebanyak 8.4 peratus pada Program Percutian Pengalaman Malaysia untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Rashidi Hasbullah berkata sehinggga Ogos lalu, sebanyak 48,626 pelancong antarabangsa memilih tinggal di inap desa, berbanding 44,871 orang bagi tempoh sama pada 2014.

“Pendapatan homestay untuk tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini juga meningkat sebanyak 3.7 peratus dari RM15.9 juta ke RM16.5 juta,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Program Kampungstay di Homestay Desa Murni di sini, Selasa.

Pelancong dari Singapura mendominasi statistik itu, diikuti Jepun, China, Eropah, Indonesia, Australia, Korea, Taiwan dan Thailand, katanya.

Rashidi menambah inap desa mempunyai tarikan tersendiri kerana menawarkan kehidupan kampung yang merupakan kelainan yang ‘dicari’ pelancong khususnya yang datang dari bandar.

Rashidi memaklumkan secara keseluruhan, jumlah pelancong yang mengikuti program itu sehingga Ogos lalu ialah 228,883 orang manakala jumlah keseluruhan bagi 2014 ialah 367,473 orang.

“Bagaimanapun, kita optimis jumlah kehadiran pelancong ke inap desa tahun ini akan meningkat tidak lama lagi kerana jumlah kehadiran pelancong domestik dijangka bertambah sempena cuti sekolah tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, setakat ini, kementerian mendaftarkan 175 kluster homestay dengan 3,561 pengusaha yang menawarkan 4,932 bilik kepada pelancong di seluruh negara.

Mengulas mengenai Kampungstay, Rashidi berkata ia merupakan inisiatif baharu kementerian untuk meningkatkan ekonomi dan menggalakkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam industri pelancongan.

“Kampungstay menawarkan pengalaman kepada pelancong kerana mereka disediakan kemudahan penginapan, tetapi tidak tinggal bersama tuan rumah. Mereka masih berpeluang berinteraksi dan mengikuti aktiviti dan kebudayaan masyarakat kampung,” katanya.

Setakat ini, terdapat 30 Kampungstay di seluruh negara dan Homestay Desa Murni yang mempunyai 34 bilik dilengkapi kemudahan dewan seminar, kolam renang dan pusat kecantikan merupakan Kampungstay pertama didaftarkan di bawah kementerian.

Rasihi juga meminta supaya lebih banyak pengusaha inap desa berdaftar dengan kementerian supaya dapat dipromosikan ke peringkat lebih tinggi manakala mereka yang memenuhi kriteria boleh didaftarkan bagi program Kampungstay. – BERNAMA