Murid Tahun 3 Dikhuatiri Lemas Di Kubang Ulu, Bukit Mertajam

Gambar Hiasan
BUKIT MERTAJAM – Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air di Kubang Ulu, di sini.

Sehingga 4 petang semalam, Mohamad Sahar Mohamad Salleh, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sri Penanti di sini masih belum ditemui.

Budak itu dipercayai terjatuh ke tali air berkenaan ketika bermain bersama beberapa rakannya di kawasan berkenaan semasa hujan lebat petang semalam, kata Pegawai Kanan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Khalil Abdul Rahim.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan 35 anggota bomba dengan bantuan penduduk kampung yang bermula sejak petang semalam masih diteruskan.

Ibu mangsa, Azizah Awang Noh, 43, berkata anaknya itu memang sering bermain di kawasan tebing tali air berkenaan.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa anak kelimanya selepas melihat orang ramai di kawasan tebing tali air berkenaan yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

“Saya baru balik kerja dari kilang di Perai kira-kira 6.30 petang dan nampak orang ramai di tebing tali air itu…dalam hati berdebar-debar dan bila saya menghampiri kawasan itu, seorang lagi anak saya yang turut berada di situ memberitahu adik (Mohamad Sahar) terjatuh dan belum ditemui,” katanya.

Azizah berkata beliau diberitahu dua rakan anaknya juga terjatuh ke tali air itu tetapi dapat diselamatkan beberapa remaja lelaki yang berada di kawasan itu.

“Sejak kejadian itu hingga hari ini saya tak dapat tidur…setiap kali nak terlelap saya nampak wajahnya,” katanya.

Suami Azizah, Mohamad Salleh Mohamad, 49, pula berkata beliau reda dengan kejadian itu dan berharap anaknya dapat ditemui segera. – BERNAMA