Noor Neelofa Mohd Noor |
KUALA LUMPUR - Pengacara, pelakon dan usahawan Noor Neelofa Mohd Noor, 26, atau Neelofa menafikan dakwaan syarikatnya Naelofar Hijab menganiayai seorang bekas stokis mereka seperti yang tersebar, baru-baru ini.
Menurut Neelofa, dakwaan tidak berasas itu adalah fitnah yang sengaja dicetuskan pihak terbabit yang bertujuan menjejaskan reputasi perniagaannya.
Pihaknya sudah mengenal pasti individu yang menyebarkan fitnah itu yang juga seorang stokis di Perak yang sudah ditamatkan kontrak beberapa bulan lalu.
"Sebenarnya kami sudah tamatkan kontraknya sebagai stokis kerana dia melanggar dua perkara dalam perjanjian yang dipersetujui semua stokis.
"Kami juga mendapat maklumat individu itu sudah menipu pembeli produk Naelofar Hijab yang lain sebanyak lebih RM10,000,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Nealofar Hijab di Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.
Neelofa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bekas stokis di Perak itu yang mendakwa syarikat miliknya menganiayai stokis Nealofar Hijab.
Individu itu juga mendakwa syarikat pengacara itu mengambil wang deposit RM200 dan tidak memulangkan semula.
Menurut Neelofa, dakwaan itu timbul kerana pihak berkenaan tidak memahami terma dan syarat yang tertera dalam kontrak sedia ada.
"Mengenai dakwaan mengambil duit stokis itu sebenarnya individu itu tidak faham setiap stokis perlu membayar yuran RM200, namun itu sudah dijelaskan tidak akan dipulangkan," katanya.
Sumber: myMetro