Nemesis, Votolocos Harumkan Nama Malaysia Di Persada Dunia #PWC2015

Pasukan Amerika Syarikat ketika menewaskan New Zealand di peringkat awal pusingan
LANGKAWI - Bagaikan melepaskan segala dendam kesumat yang disimpan selama setahun, pasukan kebangsaan Amerika Syarikat melibas Perancis dalam pertarungan akhir Kejohanan Piala Dunia Paintball 2015 (PWC 2015) yang berlangsung di sini, semalam.

Pasukan yang terdiri dari 10 anggota terbaik pemain paintball negara "Uncle Sam" itu sebelum ini tewas di tangan pasukan paintball Perancis dalam pertarungan sengit pada kejohanan dunia pada tahun lalu.

Dengan kemenangan itu, skuad Amerika Syarikat itu membawa pulang medal dan trofi kejohanan dan medal dari kejohanan berprestij yang berlangsung di dewan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri sejak 29 Oktober lalu.

Pasukan Belgium dan Afrika Selatan pula hanya berpuas hati pada kedudukan masing-masing di tempat ketiga dan keempat kejohanan bagi kategori antarabangsa itu.

Sementara itu, pasukan Asiawan dari Thailand turut membuktikan mereka wajar digeruni oleh pasukan-pasukan dari Eropah apabila berjaya menewaskan Cobra Kai dari USA, untuk muncul juara Divisyen Satu dan membawa pulang medal dan wang tunai bernilai RM42,600 (AS$10,000).

Cobra Kai yang tewas bagaimana pun pulang dengan wang tunai bernilai RM21,300 (AS$5,000).

KTM Nemesis Legion ketiga terbaik dunia Division 1 (expert)
Membanggakan, sebuah pasukan dari Malaysia turut menaiki podium pada kejohanan dunia kali ini apabila KTM Nemesis Legion berjaya menempatkan diri pada kedudukan ketiga kategori Division 1 itu dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,520 (AS$2,000).

Division 1 ditandingi oleh pasukan-pasukan terbaik dari seluruh dunia yang berkampung di pulau lagenda itu dan dikatakan sebagai pasukan "expert" di peringkat antarabangsa.

Bagi kategori Division 2, pasukan Inception Asiawan dari Thailand telah membenam pasukan Speed bagi menempatkan diri sebagai juara dan kedua pasukan turut membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi kejohanan.

Lost Votolocos, anak-anak jati Kedah terbaik ketiga dunia bagi Division 2 
Sebuah pasukan dari Kedah, Lost Votolocos, yang disifatkan sebagai "underdog"  telah mengejutkan ramai pihak apabila berjaya menobatkan pasukan mereka di kedudukan ketiga terbaik bagi kategori tersebut. 

Division 3 pula diungguli oleh pasukan Imperia diikuti Outlaws Uprising di tempat kedua manakala ketiga, Ariyaman Ladies.

Manakala Division 4 dikuasai oleh pasukan WTF Dragon Flyz di tempat pertama, manakala pasukan MPJBT Tigers di tangga kedua dan pasukan RWD Jogja dari Indonesia di tempat ketiga kejohanan kategori berkenaan.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan pada PWC 2015 kali ini iaitu kategori antarabangsa dan pasukan (division) yang bermula sejak 29 Oktober dan melabuhkan tirai pada 1 November, semalam.

Kategori utama peringkat antarabangsa membabitkan skuad kebangsaan dari negara masing-masing dan kejohanan kali ini menyaksikan sebanyak 21 negara telah mengambil bahagian bagi acara tersebut.

Manakala kategori kedua pula membabitkan Divisyen Satu, Dua, Tiga dan Empat, dibuka kepada semua kelab dan pasukan dari seluruh dunia yang menyaksikan lebih dari 140 pasukan dari serata dunia mengambil bahagian. -Kedahnews.com