Nik Nazmi Tuduh Jamil Khir Tidak Berhati Perut

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tanpa mempedulikan fakta yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom semalam tetap menuduh kononnya menteri tersebut tidak berhati perut kerana menggunakan wang anak yatim untuk berhibur di Amerika Syarikat.

Malah, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mendakwa kononnya Jamil Khir telah pecah amanah kerana jutaan ringgit wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) telah disalahgunakan untuk mengayakan beberapa individu dalam badan kebajikan itu.

“Sekarang keluar pendedahan Jamil Khir menyalahgunakan RM410,978.56 daripada duit badan berkaitan kerajaan Yapeim untuk membiayai rombongannya ke Amerika Syarikat (AS) yang melibatkan permainan golf dan perlbagai hiburan.

“Jutaan ringgit wang yayasan yang telah diamanahkan oleh penderma, telah disalah guna untuk mengayakan beberapa individu. Organisasi tersebut sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang memerlukan termasuk anak yatim piatu. Tindakan menggunakan wang yayasan itu untuk kepentingan sendiri amat tidak berhati perut,” tuduhnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, kata Nik Nazmi, AMK mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memastikan Pengarah Strateginya, Akmal Nasir yang membuat tuduhan itu dilindungi sepenuhnya.

Dakwanya, Akmal yang juga Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) perlu mendapat perlindungan SPRM kerana mendedahkan maklumat tentang perbuatan Jamil Khir.

Jamil Khir semalam dengan tegas menafikan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanannya ke luar negara sambil menyifatkan tuduhan itu berniat jahat kerana satu fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

Beliau sebaliknya menjelaskan lawatannya ke AS pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi di bawah pihaknya terutama YaPEIM dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika.

Ia termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari AS serta Kanada dan pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang program itu diadakan termasuk permainan golf yang disertai beliau.

Jelasnya, segala perbelanjaan untuk beliau menghadiri program itu adalah mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan maka beliau akan mengemukakan saman fitnah ke atas Akmal dan portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.

“Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan (Jamil Khir bermain golf) dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya,” katanya. -Kedahnews.com