Nurul Izzah Dakwa Sabah Tiada Sebab Haramkan Dirinya, Tian Chua Masuk Sabah

Nurul Izzah dan Tian Chua
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa tiada sebab untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengharamkan beliau dan rakannya, Tian Chua menjejakkan kaki ke negeri itu.

Meluahkan rasa kesal dengan keputusan DUN Sabah itu, Nurul Izzah mendakwa pertemuannya dengan Jacel Kiram bukan merupakan program anjuran jurucakap tentera Sulu itu, namun ia adalah anjuran pelbagai pihak.

"Ia bukan sahaja dianjurkan Institut Demokrasi di Asia bahkan ditaja oleh pejabat Timbalan Presiden Filipina, dan Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada," katanya di luar pekarangan ibu pejabat polis Bukit Aman, di sini, semalam.

Selain itu, Nurul Izzah turut menegaskan, tiada apa yang perlu disembunyikannya di sebalik pertemuan kontroversi itu dan beliau sedia memberikan penjelasan kepada pihak polis.

"Hari ini saya menawarkan dan menyerah diri untuk menjawab persoalan termasuk tiada pembuktian di sebaliknya.

"Tiada sebab saya dan YB Tian Chua perlu diharamkan (masuk ke Sabah)," ujarnya yang dipetik dari sebuah portal.


Walau bagaimanapun, Nurul Izzah tetap mempertahankan bahawa gambar yang mencetus kontroversi dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia itu telah dimuat naik Jacel sendiri dalam akaun Facebooknya.

"Saya bukan pengkhianat negara, saya sayangkan Malaysia dan sekali lagi saya akan pertahankan kedaulatan Sabah," kata anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. -Kedahnews.com