OBAMA berucap selepas memeriksa kapal Filipina, BRP Gregorio Del Pilar di Pelabuhan Manila. |
Obama membuat tawaran itu di atas kapal perang tentera laut Filipina, sejurus tiba di Manila untuk menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang juga dihadiri Presiden China, Xi Jinping.
“Lawatan saya ke sini menunjukkan betapa pentingnya komitmen kita untuk memastikan keselamatan perairan di rantau ini serta kebebasan berlayar,” katanya.
Filipina dilaporkan menerima bantuan bernilai AS$79 juta (RM346 juta) untuk memperkukuhkan keselamatan maritimnya pada tahun kewangan ini penerima besar di Asia Tenggara, kata Rumah Putih.
Vietnam yang pernah bersengketa dengan AS, tetapi juga lantang bersuara terhadap China menerima bantuan bernilai AS$40.1 juta (RM176 juta) manakala Indonesia yang belum mengemukakan tuntutan rasmi terhadap Beijing menerima hampir AS$20 juta (RM88 juta) untuk ‘melindungi kawasan maritimnya.’
Malaysia pula yang bakal menerima kunjungan Obama Jumaat ini akan menerima bantuan keselamatan maritim berjumlah AS$2.5 juta (RM11 juta).
Tawarannya itu bagi meyakinkan sekutunya bahawa AS komited untuk memastikan keselamatan di laut berkenaan, susulan China mendirikan pulau binaan di kawasan perairan yang turut dituntut milik beberapa negara lain termasuk Malaysia dan Filipina di rantau itu.
Obama dijadualkan menemui Xi hari ini pada pembukaan persidangan dua hari itu yang membabitkan pemimpin 21 negara lingkaran pasifik. -AFP